Sekilas
- Ernie Zakri merasa terharu dapat membuat persembahan di hadapan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Perancis Emmanuel Macron semasa lawatan rasmi di Kuala Lumpur.
- Ernie berpeluang menyanyikan lagu popular La Vie En Rose bersama Presiden Macron dalam acara tersebut.
- Dia berharap agar kerjasama seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang dan berkongsi momen bermakna itu bersama Anuar Zain.
Penyanyi, Ernie Zakri menyifatkan peluang membuat persembahan di hadapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron sebagai antara kenangan paling bermakna buatnya sepanjang bergelar anak seni.
Menerusi perkongsian di Threads, Ernie meluahkan rasa syukur apabila diberi kesempatan untuk menghiburkan kedua-dua pemimpin itu bersempena Lawatan Rasmi Presiden Perancis yang berlangsung di Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur pada Rabu.
Lebih istimewa, Ernie turut berpeluang mendendangkan lagu popular berjudul La Vie En Rose bersama Presiden Macron dalam acara berkenaan.
“Alhamdulillah, kenangan yang begitu bermakna sepanjang menjadi anak seni. Terima kasih. Dapat juga mendendangkan La Vie En Rose bersama dengan presiden,” tulisnya.
Di akhir perkongsian, pelantun lagu Gundah ini berharap agar kerjasama seperti ini dapat dilakukan lagi di masa akan datang.
“Semoga ada rezeki untuk kerjasama seterusnya! Tentu sekali hari yang bermakna itu turut dikongsi bersama Anuar Zain,” tambahnya.