Pelakon dan penyanyi, Erra Fazira menegaskan dirinya tidak akan sewenang-wenangnya menerima sebarang tawaran kerja, terutama membabitkan peranan sebagai duta produk sekiranya ia bercanggah dengan prinsip serta imej yang dibawanya selama ini.
Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 51, berkata, antara perkara utama yang diberi perhatian sebelum bersetuju menjalin kerjasama ialah jenis kandungan yang perlu dihasilkan.
Advertisement
“Content adalah antara syarat penting sebelum bekerjasama. Jika terlalu keterlaluan atau tidak sesuai dengan gaya dan imej saya, saya akan tolak. Saya tidak mahu disuruh buat sesuatu yang bukan diri sendiri.
“Itu bukan cara pembawaan saya. Risau nanti peminat terkejut pula melihat sesuatu yang berbeza dengan diri saya. Jadi lebih baik kita jelaskan segalanya terlebih dahulu sebelum bekerjasama.
“Saya kena kenal dan suka produk itu terlebih dahulu. Selain itu, ia perlu sesuai dengan imej dan situasi semasa,” katanya kepada Gempak.
Erra berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran produk terbaharu jenama Captain Dolphin yang berlangsung di Sepang pada Selasa.
Tambah pelakon filem Maria Mariana itu, soal bayaran bukan keutamaan sebaliknya hubungan jangka panjang yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak menjadi matlamat utamanya.
“Bayaran hanyalah sebagai ‘pintu’ untuk kerjasama. Selepas pintu itu terbuka, saya tiada masalah untuk memberi lebih lagi.
“Saya juga tidak akan lepas tangan. Kena ambil tahu impak yang saya berikan terhadap jualan. Kalau boleh biarlah kedua-dua pihak gembira,” ujarnya.
Untuk rekod, Erra mula bekerjasama dengan jenama makanan Captain Dolphin sejak tahun 2022 dan turut menyumbang idea dalam penghasilan perisa baharu syarikat berkenaan.

Dalam majlis sama yang meraikan Erra sebagai duta selama tiga tahun, jenama berkenaan turut memperkenalkan tiga perisa baharu konjac jeli iaitu Calamansi, Caramel dan Cola.