Sekilas
- Erra Fazira mengumumkan perkahwinan ketiganya dengan Ezwan Zain yang dijadualkan pada 12 Disember 2025, dengan majlis resepsi disiarkan secara langsung di YouTube.
- Peminat dan netizen memberikan sokongan dan doa agar perkahwinan Erra kali ini kekal bahagia dan dipermudahkan urusannya.
- Erra dihargai kerana sikapnya yang menjaga maruah bekas suami dan menjalani fasa perceraian tanpa sebarang drama atau membuka aib.
Pengumuman primadona negara, Erra Fazira, mengenai pernikahan bersama jejaka pilihan hati, Ezwan Zain, mencetuskan rasa syukur dan kegembiraan dalam kalangan peminat/
Menjengah ke ruangan komen media sosial, ramai yang menzahirkan rasa terharu serta mendoakan agar segala urusan penyanyi dan pelakon itu dipermudahkan.
“Perkahwinan ketiga dan moga yang terakhir. Moga kali ini kekal abadi hingga ke jannah.
“Saya tumpang gembira. Semoga berkekalan hingga ke jannah dan dipermudahkan urusan,” ujar beberapa netizen.
Bukan itu sahaja, ada juga yang memuji sifat keperibadian Erra yang sentiasa menjaga maruah bekas suami tanpa membuka aib sesiapa sepanjang melalui fasa perceraian sebelum ini.
“Erra Fazira wanita baik… divorce tapi Allah beri jodoh baru. Diam-diam bahagia, diam-diam anak berjaya terbitkan buku, diam-diam nak bina rumah tangga baru. Classy. Semoga ke jannah/
“Alhamdulillah, antara artis yang melalui fasa penceraian tanpa drama dan tak buka aib pasangan. Hari ini dia umum nak kahwin lagi. Weh, Erra nak kahwin lagi! Semoga dipermudahkan urusan dan semoga inilah kebahagiaan yang tepat buat dia,” tulis beberapa pengguna.

Sebelum ini, Erra memaklumkan bahawa dia sudah dirisik keluarga Ezwan sekitar enam minggu lalu, sebelum memutuskan untuk mengumumkan tarikh hari bahagianya.
Pelakon filem Maria Mariana itu turut menitiskan air mata ketika berkongsi perkembangan terbaru mengenai pernikahannya kepada media.
Majlis akad nikah pasangan itu akan berlangsung pada 12 Disember 2025 di sebuah lokasi yang bakal diumumkan kemudian.
Sementara itu, majlis resepsi pada 13 dan 27 Disember akan disiarkan secara langsung menerusi saluran YouTube Kasi Ons.
Untuk rekod, Erra pernah berkahwin dengan komposer dan penyanyi, Yusry Abdul Halim pada 2003 namun berpisah tiga tahun kemudian.
Selepas itu, Erra mendirikan rumah tangga bersama Engku Emran Engku Zainal Abidin dan dikurniakan seorang cahaya mata, Engku Aleesya, 15.
Namun perkahwinan mereka juga berakhir selepas tujuh tahun bersama.