Sekilas
- Fasha Sandha meluahkan kekecewaan terhadap seorang pelakon yang kerap datang lewat ke lokasi penggambaran sehingga mengganggu jadual produksi.
- Fasha memilih untuk tidak mendedahkan identiti pelakon tersebut dan berharap teguran melalui WhatsApp itu menjadi pengajaran.
- Pelakon itu menegaskan disiplin dan komitmen adalah kunci kejayaan dalam industri dan menasihati pendatang baharu supaya menjaga disiplin.
Pelakon, Fasha Sandha mengakui tindakannya yang memuat naik status menerusi aplikasi WhatsApp adalah kerana kecewa dengan sikap seorang pelakon yang didakwa kerap datang lewat ke lokasi penggambaran.
Dakwa Fasha atau nama sebenarnya Nir Fasha Sandha Hassan, kelewatan itu bukan berlaku sekali dua malah sudah berlaku beberapa kali sehingga mengganggu perjalanan kerja pihak produksi.
Bagaimanapun, Fasha memilih untuk tidak mendedahkan identiti pelakon tersebut dan berharap teguran yang dibuat menerusi status miliknya itu dapat dijadikan sebagai pengajaran.
“Saya tak nak mention siapa yang lambat tu. Saya rasa dia tahu siapa yang lambat. Sebab kelewatan tu bukan sekali dua, tetapi hampir setiap hari.
“Saya harap dia jadikan tu sebagai pengajaran supaya dia tidak lagi lambat di masa akan datang. Tapi siapa orang tu saya takkan bagi tahu lah siapa,” katanya kepada Gempak.
Fasha berkongsi perkara tersebut ketika ditemui di majlis pengumumannya sebagai duta kempej Safi Youth Rania Gold bertempat di Shah Alam, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Fasha memaklumkan dia hanya mahu individu berkenaan mengambil iktibar daripada teguran tersebut agar lebih menghargai masa dan menghormati komitmen orang lain.
Perjelas pelakon filem Anak Mami Kembali itu lagi, dia kini lebih memilih untuk berkongsi luahan tersebut secara peribadi berbanding memberi teguran secara terbuka di media sosial.
“Saya pasti pihak produksi sudah pun memberi teguran dan selepas ini, saya harap dia lebih tahu untuk menjaga waktu dan menghormati orang lain.
“Kalau dulu zaman-zaman dulu-dulu, Fasha akan tulis kat media sosial. Tapi kali ini Fasha hanya meluahkan teguran itu dalam WhatsApp sahaja,” ujarnya.
Ditanya mengenai punca segelintir pelakon yang dilihat semakin selesa datang lewat ke lokasi penggambaran, Fasha walau bagaimanapun enggan membuat sebarang andaian.
“Tak pasti, tak tahu kenapa. Sebab macam-macam.
“Saya jaga disiplin, orang lain tak jaga disiplin tak tahu kenapa. Apa dalam fikiran dia, saya tak tahu. Kena tanya dia,” katanya.
Justeru, ibu kepada tiga orang anak ini menitipkan pesan kepada pendatang baharu untuk sentiasa menjaga disiplin jika mahu terus kekal relevan dalam industri.
Ujar Fasha yang sudah lebih dua dekad dalam industri, disiplin yang tinggi adalah kunci kepada kejayaan seseorang pelakon.
“Jaga disiplin dan komitmen adalah perkara nombor satu yang harus diambil kira dan diutamakan. Bila kita jaga disiplin dan komitmen, tak ada siapa boleh menjatuhkan kita.
“Saya rasa saya masih lagi berada di sini adalah kerana disiplin dan komitmen yang saya pegang, prinsip hidup saya yang saya pegang dari dulu sampai sekarang, Alhamdulillah.
“Jadi kepada pelakon itu, teguran yang dibuat adalah supaya dia menjadi lebih baik. Dan teguran itu hanya melalui WhatsApp saja, katanya lagi.
Terdahulu, Fasha meluahkan rasa kesal terhadap sikap seorang pelakon di lokasi penggambaran yang didakwa kerap hadir lewat sehingga mengganggu kelancaran jadual kerja produksi.