Pelakon popular Fattah Amin berkongsi rasa syukur apabila dirinya dan isteri tercinta, penyanyi Amira Othman, mempunyai tujuan dan pemikiran tentang kehidupan yang sama.
Perkara itu, menurutnya, menjadi kunci penting yang menguatkan lagi hubungan mereka sebagai pasangan suami isteri.
Advertisement
Fattah atau nama penuhnya Abdul Fattah Mohd Amin, 35, berkata keserasian mereka bukan sahaja dalam soal kehidupan, malah pandangan terhadap agama juga seiring.
“Banyak bercakap tentang kerja tetapi kami ada satu topik yang saya suka iaitu mengenai agama dan tujuan hidup.
“Kami ada persamaan bila berbual tentang hidup kerana pemikiran dan kepercayaan kami sama.
“Apabila kami bersetuju tentang perkara yang sama, hidup akan seronok,” katanya dalam siaran langsung TikTok semalam.
Dalam masa sama, Fattah turut menekankan bahawa setiap pasangan seharusnya sekufu terutama dalam hal berkaitan agama dan cara hidup.
“Saya rasa agama memang perlu letak di tempat yang pertama dalam hidup.
“Bila nak berpasangan, itu perkara paling utama iaitu pegangan agama dan hidup.
“Kalau dua benda itu tidak selari, takut perkara lain tak sama,” katanya lagi.
Selain itu, Fattah turut berkongsi momen manis apabila anak perempuannya, Nur Fatima Aisya, sudah mula memanggil Amira dengan panggilan mesra “aunty Mira”.
“Fatima panggil Amira sebagai ‘aunty Mira’,” katanya ringkas.
Untuk rekod, pada 14 September lalu, Fattah dan Amira selamat disatukan dalam sebuah majlis pernikahan yang berlangsung di Sepang.
Sebelum ini, Fattah pernah mendirikan rumah tangga dengan aktres Nur Fazura pada 2017 namun berpisah talak satu pada 7 Oktober tahun lalu.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Fatima, yang kini berusia lima tahun.