Sekilas
- Fattah Amin dan isteri, Amira Othman, menafikan sebarang kaitan dengan video tular yang memaparkan insiden keganasan terhadap seorang wanita.
- Firma guaman mereka menegaskan dakwaan tersebut adalah palsu dan berunsur fitnah, serta menyeru orang ramai menghentikan penyebaran maklumat tidak benar.
- Mereka juga memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang terus menyebarkan fitnah tersebut.
Pelakon Fattah Amin tampil berkongsi kenyataan rasmi yang dikeluarkan firma guaman yang mewakili dirinya dan isteri, Amira Othman, Arief & Iskandar Advocates & Solicitors susulan dakwaan mengaitkan dirinya dan Amira Othman dengan sebuah video tular membabitkan insiden keganasan terhadap seorang wanita.
Menerusi perkongsian di Threads, Fattah berkata dia dan Amira mengambil maklum mengenai beberapa hantaran yang tular kebelakangan ini yang mengandungi dakwaan palsu serta berunsur fitnah terhadap mereka.
“Salam Muharram. Saya dan isteri telah mengambil maklum mengenai beberapa hantaran yang tular kebelakangan ini yang mengandungi dakwaan palsu serta berunsur fitnah terhadap kami berdua.
“Sehubungan itu, kami sertakan kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh peguam kami.
“Kami berharap semua pihak tidak lagi terlibat dalam sebarang bentuk fitnah atau spekulasi tidak berasas selepas ini. Terima kasih,” katanya.

Menerusi kenyataan rasmi tersebut, firma guaman yang mewakili kedua-dua selebriti berkenaan menegaskan anak guam mereka tidak mempunyai sebarang kaitan dengan individu yang dipaparkan dalam video tular tersebut.
“Kami ingin menyatakan dengan jelas bahawa anak guam kami bukan individu-individu di dalam klip video tersebut dan tidak terlibat dengan insiden keganasan itu sama ada secara langsung atau tidak langsung.
“Oleh yang demikian, anak guam kami dengan rendah hati menyeru agar warga internet di rantau ini menurunkan sebarang penerbitan yang berunsurkan maklumat palsu serta kenyataan fitnah ini dan seterusnya berhenti daripada terus menularkannya,” menurut kenyataan itu.
Menurut firma guaman berkenaan, pihak mereka turut mengambil pendirian tegas terhadap mana-mana individu yang masih meneruskan penyebaran dakwaan tidak berasas tersebut.
“Susulan pengeluaran kenyataan rasmi ini, anak guam kami mengambil pendirian tegas dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang berterusan menerbitkan, menyebarkan atau menularkan maklumat palsu dan kenyataan fitnah tersebut.
“Setakat hari ini, fitnah ini terus disebarkan dan ditularkan oleh warga internet secara meluas sehingga melibatkan pengguna-pengguna di negara jiran,” ujarnya.
Terdahulu, pada 13 Jun lalu, tular sebuah video memaparkan insiden keganasan fizikal membabitkan empat individu terhadap seorang wanita warga Indonesia yang bekerja sebagai pembantu rumah.
Susulan penularan video tersebut, terdapat segelintir netizen tidak bertanggungjawab membuat perkongsian berbaur fitnah di media sosial dengan mengaitkan Fattah dan Amira dengan individu-individu yang terlibat dalam insiden berkenaan.
Sumber: Threads