Sekilas
- Fattah Amin meluahkan rasa kecewa terhadap akaun media sosial 'Musang Berjanggut' yang menyebarkan fitnah mengenai kehidupan peribadinya.
- Pelakon itu mempersoalkan bagaimana maklumat peribadi berkaitan dirinya dan bekas isteri boleh diketahui oleh pihak luar, terutama urusan sekolah anaknya.
- Fattah telah membuat laporan kepada PDRM dan SKMM serta menyeru orang ramai menggunakan saluran betul untuk melaporkan akaun yang menyebarkan fitnah.
Pelakon, Fattah Amin meluahkan rasa terkilan apabila terdapat pihak yang menyebarkan fitnah melibatkan kehidupan peribadinya.
Menurut Fattah atau nama lengkapnya Abdul Fattah Mohd Amin, terdapat beberapa perkara yang dibangkitkan akaun media sosial bernama ‘Musang Berjanggut’ yang disifatkannya sebagai naratif tidak berasas.
“Saya serius tak nak kisah atas benda-benda remeh dan fitnah yang selama ini telah awak cipta. Tapi rasanya naratif yang digunakan, fitnah yang diada-adakan ini dah semakin melampau," tulisnya.
Fattah juga turut mempersoalkan bagaimana maklumat berkaitan perkara peribadi melibatkan dirinya dan bekas isteri boleh diketahui oleh pihak luar.
Menurut Fattah, perkara berkaitan urusan antara pihak sekolah dan ibu bapa seharusnya bersifat peribadi dan tidak wajar didedahkan kepada umum.
“Tentang yuran yang tertangguh, sila periksa dengan pihak sekolah Fatima sekarang tentang yuran tersebut. Nampak gaya awak seperti ada akses tentang semua personal yang melibatkan saya dan bekas isteri.
“Jadi bagaimana info-info dalaman seperti ini diketahui oleh awak?Bukankah ianya adalah P&C di antara pihak sekolah dan parents?," soalnya.
Dalam hantaran sama, Fattah turut mendakwa dia telah lama membuat laporan terhadap akaun tersebut kepada pihak berkuasa berkaitan.
Katanya, laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dibuat atas dakwaan akaun berkenaan telah menyebarkan pelbagai perkara yang tidak benar sejak sekian lama.
“Saya dah lama report akaun awak ini pada PDRM dan SKMM sebab dah bertahun-tahun awak wujudkan fitnah-fitnah ini. Selebihnya yang lain-lain saya tak nak komen sebab anda semua boleh menilai bahasa dan kata-kata akaun Musang ini," ujarnya.
Fattah juga menyeru orang ramai supaya menggunakan saluran yang betul sekiranya menemui akaun yang didakwa menyebarkan kandungan berunsur fitnah.
“Mungkin dah sampai masa kita gunakan button report ini beramai-ramai supaya akaun seperti ini tidak sepatutnya wujud di kalangan masyarakat kita," tambahnya.
