Sekilas
- Fattah Amin gembira melihat hubungan rapat antara puteri sulungnya, Nur Fatima Aisya, dan adiknya, Muhammad Jarir Umar, yang semakin erat setiap kali mereka bersama.
- Fatima kini mula memahami tanggungjawabnya sebagai kakak, walaupun Fattah masih belum bersedia untuk berkongsi wajah Jarir secara terbuka.
- Fattah turut berkongsi perkembangan Jarir yang kini sudah mula meniarap dan menunjukkan kemajuan dari masa ke semasa.
Pelakon, Fattah Amin mengakui berasa gembira melihat puteri sulungnya, Nur Fatima Aisya yang dilihat sentiasa teruja setiap kali berpeluang meluangkan masa bersama adiknya, Muhammad Jarir Umar.
Menurut Fattah atau nama sebenarnya, Abdul Fattah Mohd. Amin, hubungan kedua-dua anaknya itu juga semakin rapat, sementara Fatima juga mula memahami tanggungjawabnya sebagai kakak.
“Setiap kali Fatima datang, nampak hubungan (bonding) mereka makin erat, alhamdulillah. Malah sewaktu sesi siaran langsung baru-baru ini, dia begitu teruja sehingga bertanya kepada saya sama ada boleh membawa adiknya masuk ketika bersiaran lansgung dalam TikTok.
“Tetapi saya jelaskan belum masanya lagi kerana adik masih kecil. Insya-Allah suatu hari nanti bila adik sudah besar sedikit, kami akan kongsikan (wajahnya).
“Saya faham ramai yang teruja dan teringin hendak melihat, cuma belum tiba masanya lagi. Fatima juga sekarang mula faham dia sudah bergelar kakak,” katanya kepada Gempak.
Fattah berkata demikian ditemui pada Anugerah Melodi Terhangat 2026 (AMT2026), baru-baru ini.
Berkongsi pula mengenai tumbesaran Jarir, pelakon filem KL Special Force ini meluahkan rasa syukur kerana anaknya itu menunjukkan kemajuan dari masa ke semasa.
“Alhamdulillah, perkembangan Jarir sekarang dia sudah pandai meniarap sedikit demi sedikit. Sebelum ini dia hanya terlentang sahaja, tetapi sekarang tangannya semakin kuat.
“Dia sudah pandai menolak badan untuk cuba meniarap, itulah perkembangannya buat masa ini.
“Selain menguruskan Jarir, kami berdua sememangnya sentiasa sibuk melayani Fatima,” ujarnya.
Untuk rekod, Amira dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 14 September 2025. Pasangan itu dikurniakan cahaya mata pertama mereka, Jarir, pada 23 Jun lalu.