Sekilas
- Fauziah Ahmad Daud berkongsi kisah keluarga Tun Dr. Hasmah yang menekankan pendidikan tanpa mengira jantina sebagai asas kejayaan mereka.
- Keluarga ini melahirkan tokoh penting dalam pelbagai bidang seperti kewangan, perubatan, pentadbiran dan ketenteraan hasil daripada penekanan kuat terhadap pendidikan.
- Fauziah mengajak ibu bapa hari ini utamakan pendidikan anak walaupun akses ilmu semakin mudah dan legasi terbesar adalah peluang belajar, bukan harta benda.
Pelakon Fauziah Ahmad Daud mengangkat kisah keluarga YABhg. Tun Dr. Hasmah binti Mohamad Ali sebagai contoh bagaimana pendidikan mampu membentuk legasi sebuah keluarga sehingga memberi kesan kepada negara.
Menerusi Threads, Fauziah berkongsi bahawa Allahyarhamah membesar dalam keluarga 10 beradik dan merupakan anak keenam kepada Haji Mohd Ali bin Taib serta Hajah Siti Khatijah Ahmad.
Menurutnya, meskipun hidup pada zaman peluang pendidikan tidak seluas hari ini, ibu bapa Tun Dr. Hasmah tidak pernah membezakan pendidikan anak lelaki dan perempuan.
“Dalam keluarga ini, Haji Mohd Ali mempunyai satu pendirian yang cukup jelas, semua anaknya mesti mendapat pendidikan. Lelaki atau perempuan, tiada beza,” tulisnya.
Fauziah turut memetik prinsip yang pernah dikenang Tun Dr. Hasmah mengenai pegangan bapanya terhadap kepentingan memberikan pendidikan kepada anak perempuan.
“If I give education to a son, I’m educating an individual, but if I give education to a daughter, I’m educating a nation.
“Mendidik seorang anak lelaki, kita mendidik seorang individu. Mendidik seorang anak perempuan, kesannya boleh sampai kepada sebuah keluarga dan generasi selepasnya,” katanya.
Menurut Fauziah, hasil penekanan terhadap pendidikan itu dapat dilihat menerusi pencapaian adik-beradik Allahyarhamah dalam pelbagai bidang.
Antaranya, Tun Ismail Mohamed Ali yang menjadi rakyat Malaysia pertama dilantik sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr. Saleha Mohamed Ali dalam bidang perubatan, Tan Sri Ahmad Razali Mohd Ali yang pernah berkhidmat sebagai Menteri Besar Selangor serta Tun Jeneral Mohamed Hashim Mohd Ali dalam Angkatan Tentera Malaysia.
“Dalam satu keluarga yang sama, lahir doktor, pentadbir, pemimpin negeri, tokoh kewangan dan panglima tentera.
“Semuanya bermula daripada satu perkara yang ibu bapa mereka tidak kompromi, pendidikan,” ujarnya.
Dalam masa sama, Fauziah mengajak ibu bapa hari ini supaya menjadikan pendidikan anak-anak sebagai keutamaan terutama ketika akses kepada ilmu semakin mudah.
“Telefon mahal boleh tunggu. Baju berjenama boleh tunggu. Percutian boleh tunggu. Kereta tidak perlu paling cantik. Rumah tidak perlu paling besar.
“Tetapi apabila anak mahu belajar, jangan cepat berkira,” katanya.
Tambahnya, legasi terbesar ibu bapa tidak semestinya berbentuk harta, sebaliknya peluang yang diberikan kepada anak-anak untuk menimba ilmu.
“Kadang-kadang legasi terbesar seorang ibu dan ayah bukan rumah, tanah, wang atau barang kemas yang ditinggalkan.
“Sebaliknya, peluang yang pernah mereka berikan kepada anak untuk belajar,” katanya.
YABhg. Tun Dr. Hasmah binti Mohamad Ali meninggal dunia pada usia 100 tahun pada 16 Rabiulakhir 1448H.
Sumber: Threads