Sekilas
- Datuk Fazley Yaakob menasihatkan lelaki supaya tidak mudah terpesona dengan wanita yang memakai solekan tebal sehingga mengubah rupa wajah sebenar.
- Beliau menegaskan pentingnya mengenali wajah asli seseorang wanita sebelum jatuh hati untuk mengelakkan rasa kecewa kemudian hari.
- Fazley tidak melarang wanita bersolek, tetapi menekankan konsep kesederhanaan supaya penampilan tidak terlalu berlebihan dan menukar tona kulit atau raut wajah asal.
Cef selebriti dan penyanyi Datuk Fazley Yaakob memberi pandangan soal penampilan diri, khususnya melibatkan solekan berlebihan dalam kalangan wanita sehingga mengubah rupa wajah sebenar.
Menerusi perkongsian di Threads, Fazley menasihatkan kaum lelaki agar tidak mudah terpesona dengan kecantikan yang terlalu ‘dibina’ menerusi solekan tebal semata-mata.
Menurutnya, lelaki sepatutnya mengenali wajah asli seseorang wanita terlebih dahulu sebelum jatuh hati bagi mengelakkan rasa kecewa di kemudian hari.
“Maaflah, jangan biasakan jatuh cinta dengan perempuan-perempuan yang bermekap berlapis, berkening dilukis (sedangkan tak ada kening sebenarnya), berlipstik tebal dari bibir sebenar, berbulu mata palsu bak langsir raya dan bermandikan perfume macam pewangi pelembut baju.
“KECUALI korang dah pernah tengok dia tanpa secalit make up. Risau nanti kecewa bila satu hari nanti melihat wajah sebenar tanpa di rancang. Cinta berdasarkan make up sama macam kena scam bila tengok wajah dari medsos yang berfilter penuh,” katanya.
Bagaimanapun, Fazley menjelaskan dia tidak melarang wanita untuk bersolek, sebaliknya menekankan konsep kesederhanaan dalam berhias.
Katanya, wanita bebas untuk tampil cantik dan kemas, namun jangan sehingga keterlaluan sampai mengubah tona kulit atau raut wajah asal.
“Kepada perempuan-perempuan yang terasa fasal isu make up, jangan over think! Macam ni sebenarnya, silalah cantikkan diri sehabis baik, TETAPI, jangan sampai tukar skin tone bila pakai foundation, atau letak blusher sampai merah macam kena penampar, atau pakai perfume sampai berbotol-botol.
“Dah tu tambah pula filter bila ambil gambar… less is more ladies! Saya kalau cari pasangan, memanglah nak yang bersiap dan wangi ok? Cuma bukan yang bila buang make up terus jadi ‘orang lain’,” katanya.
Sumber - Threads