Skip to main content

Hiburan

Fazura Titip Kata Semangat Buat Dr Malar - “Orang Baik Selalu Kena Macam Ni…”

tyjyjujj

Sekilas

  • Pelakon Nur Fazura tampil beri sokongan terbuka kepada Dr Malar yang menerima kecaman hebat susulan isu pempengaruh Faiz Soul.
  • Fazura menegaskan individu baik sering menjadi sasaran haters dan clout-chasers, namun percaya Dr Malar kuat dan berjaya sebagai figura awam.
  • Isu bermula apabila Faiz Soul dipersoal kelayakannya ke majlis sekolah, diikuti teguran Dr Malar yang disalah tafsir dan menyebabkan ketegangan di media sosial.

Pelakon dan penyanyi, Nur Fazura tampil memberikan sokongan terbuka kepada pegawai perubatan dan personaliti media sosial, Dr Malar yang menerima pelbagai reaksi daripada orang ramai susulan isu tular membabitkan pempengaruh Faiz Soul baru-baru ini.

Sokongan itu dizahirkan Fazura menerusi satu hantaran di aplikasi Threads.

“We love you Dr Malar,” tulisnya berserta emoji hati dan bunga sebagai tanda sokongan.

Tindakan aktres berusia 41 tahun itu mencuri perhatian warganet, apatah lagi selepas seorang pengguna media sosial meluahkan rasa simpati terhadap Dr Malar yang disifatkan sering disalah anggap.

“Sangat berat rasanya melihat seseorang yang selalu bersemangat, passionate & always happy dikecewakan, disalah-anggap begini. This is not kind,” tulis individu tersebut di komen hantaran Fazura.

Membalas komen itu, Fazura menyifatkan individu yang baik sering menjadi sasaran pihak tidak bertanggungjawab.

 

“Well, kind people often kena macam ni by somewhat, haters/clout-chasers. But I believe she is strong and most importantly we already know her as a legit successful public figure who is highly intellectual and a dignified woman. So… dia dah menang tanpa bertanding,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi pengguna media sosial turut meluahkan rasa kecewa terhadap kecaman melampau yang diterima Dr Malar di beberapa platform termasuk TikTok dan Instagram sehingga melibatkan penghinaan fizikal serta unsur perkauman.

“Kadang-kadang sampai kutuk kulit Dr Malar, paria dan sebagainya. Dah ke tahap harassment dan racism. Padahal apa yang dia cakap itu betul,” tulis pengguna berkenaan.

Fazura sekali lagi tampil membela Dr Malar dengan menegaskan setiap perbuatan dan kata-kata akan diperhatikan oleh Yang Maha Esa.

“Haters atau clout-chasers tak matang fikir hari esok. Apa saja mereka ucap, Allah memerhati,” luahnya.

Terdahulu, isu membabitkan pempengaruh Faiz Soul yang dijemput ke sebuah majlis sekolah mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan netizen apabila keberadaannya dipersoalkan hanya kerana berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Faiz tampil mempertahankan diri dengan meluahkan rasa terkilan kerana dihina dan dipersoalkan kelayakannya, selain mempersoalkan sumbangan sebenar individu berkelulusan tinggi terhadap institusi pendidikan.

Susulan itu, Dr Malar memberikan teguran dan nasihat secara terbuka, namun ia disalah tafsir oleh Faiz yang merasakan dirinya disindir.

Keadaan bertambah tegang apabila Dr Malar mendakwa menerima kecaman teruk di akaun TikTok milik Faiz, sebelum tampil memberikan penjelasan serta permohonan maaf bagi meredakan keadaan.

Must-Watch Video

Advertisement