Sekilas
- Felix Agus beri kata semangat kepada Hussain Big Stage Rocketfuel yang akan menyampaikan lagu Warkah Berlagu Pilu pada minggu keenam.
- Felix harap Hussain buat yang terbaik tanpa takut kalah menang, dan nikmati peluang beraksi di pentas.
- Big Stage X Rocketfuel disiarkan setiap Ahad jam 9 malam di Astro Ria dan boleh distrim di Astro GO serta Sooka.
Penyanyi, Felix Agus memberikan kata-kata semangat buat bintang Big Stage Rocketfuel (BSR), Hussain yang bakal menyampaikan lagu nyanyiannya berjudul Warkah Berlagu Pilu.
Menerusi sebuah video yang dikongsikan di media sosial, Felix menzahirkan penghargaan dan juga menitipkan kata-kata semangat kepada Hussain sebelum dia membuat persembahan di minggu keenam.
“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kerana membawakan lagu saya yang bertajuk Warkah Berlagu Pilu.
“Buat yang terbaik, buat yang termampu, jangan gentar, jangan takut. Kalah menang hanyalah keputusan sesuatu pertandingan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Felix yang juga merupakan naib juara Akademi Fantasia 3 (AF3) itu juga turut berharap Hussain dapat memberikan persembahan terbaik dan tidak terlalu memikirkan tentang keputusan pertandingan.
Sebaliknya kata Felix, Hussain harus menikmati peluang untuk berada di pentas selain memberikan yang terbaik buat para peminat..
“Keberanian untuk berdiri di atas pentas dan membuat yang terbaik adalah kemenangan yang sebenar.
“Jadi saya doakan yang terbaik, yang termantap untuk Hussain. Semoga Big Stage tahun ini milik Hussain,” katanya.
Dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Azeva, saksikan Big Stage X Rocketfuel setiap Ahad, jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104) serta strim episod penuh menerusi Astro GO dan Sooka.