Skip to main content

Selebriti

FFM34: Amir Ahnaf Hargai Fadhli Masoot Di Sebalik Kejayaan Kahar - “Saya Rasa Tak Layak Kalau Naik Seorang Diri…”

FFM34: Amir Ahnaf Hargai Fadhli Masoot Di Sebalik Kejayaan Kahar

Pelakon, Amir Ahnaf menyifatkan kejayaan watak Kahar menerusi drama bersiri Project High Council dan filem Kahar: Kapla High Council tidak datang daripada usahanya seorang diri.

Sebaliknya hasil kerjasama dan sokongan rakan pelakon, khususnya Fadhli Masoot yang membawakan watak Hakeem.

Advertisement

“Sejujurnya saya tidak kisah menang atau tidak sebab memang dari awal lagi kejayaan seorang Kahar itu disebabkan Fadhli Masoot yang membawakan watak Hakeem.

“Dia banyak membantu saya untuk menjayakan Kahar. Jadi saya rasa tidak layak kalau naik ke pentas seorang diri sebab itu saya tarik kawan saya,” ujarnya.

Amir berkata demikian ketika ditemui di sidang media FFM34, pada Sabtu.

Mengulas mengenai kejayaannya menggenggam trofi Pelakon Harapan Lelaki Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34), Amir meluahkan rasa syukur atas sambutan luar biasa terhadap watak yang dibawanya namun mengakui dirinya tidak terlalu memikirkan soal kemenangan atau pengiktirafan semata-mata.

“Bercakap mengenai kemenangan atau tidak, saya rasa kejayaan dan kemenangan itu adalah ilusi semata-mata.

“Apa yang penting adalah ‘symbiosis', hubungan baik dan silaturahim antara kita semua dalam industri.

“Saya suka kalau ramai pelakon muda dalam satu kategori sebab di masa hadapan kita nak majukan lagi industri perfileman Malaysia,” jelasnya.

Mengulas mengenai penerimaan penonton terhadap watak Kahar, Amir mengakui tidak menyangka karakter tersebut meninggalkan kesan yang mendalam dalam kalangan peminat.

Bagi Amir, setiap kejayaan yang diraih bukan hanya untuk dirinya, tetapi juga rezeki yang dikongsi bersama semua yang terlibat dalam produksi.

“Impaknya sangat besar, pada mulanya saya tak percaya pun yang Kahar itu akan ada di hati penonton.

“Sebab Kahar bukanlah karakter utama dalam drama bersiri. Mierul and Nadhir yang merupakan watak utama.

“High Council adalah drama kelapan saya dan saya hanya memberikan yang terbaik. Saya bersyukur kerana bukan saya seorang yang naik menerusi naskah ini, tetapi juga kawan-kawan saya yang lain,”

“Saya percaya impak saya adalah bukan untuk diri sendiri tetapi rezeki untuk orang lain juga,” katanya

Selain Amir dan Fadhli, tiga lagi pelakon yang dicalongkan bagi kategori itu ialah Hun Haqeem, Vijay Ganesh dan Koh Teng Just.

Bagi kategori Pelakon Harapan Wanita pula, trofi tersebut menjadi milik pelakon kelahiran Sarawak, Michelle Lungan menerusi lakonannya dalam filem Tegkang.

FFM34 menyaksikan Babah dinobatkan sebagai filem terbaik dan membolot lima lagi anugerah lain iaitu Pengarah Harapan (Shah Faizul) Pelakon Lelaki Terbaik (Qi Razali) Pelakon Wanita Terbaik (Sweet Qismina), Lakon Layar Terbaik dan Cerita Asal Terbaik.


 

Must-Watch Video

Advertisement