Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, tampil memberi penjelasan berhubung isu yang dibangkitkan segelintir netizen berkenaan rekaan poster rasmi Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) yang didakwa kurang menarik dan dibuat secara ‘tangkap muat’.
Menurut Azmir, poster berkenaan sebenarnya dihasilkan oleh pasukan dalaman Radio Televisyen Malaysia (RTM) selaku penyiar rasmi acara tersebut.
Advertisement
Tidak menyalahkan mana-mana pihak, Azmir bagaimanapun berkata pihaknya tetap mengambil segala pandangan dari sudut positif.
“Saya ingin jelaskan bahawa poster itu sebenarnya direka oleh pihak RTM. Setiap kali RTM menganjurkan sesuatu program, pasukan dalaman mereka yang akan menghasilkan poster berkenaan.
“Bagaimanapun, saya ambil perkara ini secara positif. Pada masa hadapan, apabila FINAS bekerjasama dengan RTM, kita akan pastikan kualiti poster yang dihasilkan menepati tahap dan keunggulan Festival Filem Malaysia (FFM),” jelasnya.
Asmir berkata demikian ketika ditemui selepas tamat Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) yang berlangsung di Angkasapuri, Kuala Lumpur pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Azmir berkata pihaknya menerima semua pandangan secara terbuka dan melihatnya sebagai ruang penambahbaikan untuk penganjuran akan datang.
“Saya percaya setiap tahun cabarannya berbeza. Tahun lepas sudah hebat, tahun ini pula Alhamdulillah ramai yang menyatakan malam anugerah kali ini sangat berjaya.
“Daripada pembukaan semasa sidang media dan pelancaran pun sudah meriah, malam ini pula berganda kemeriahannya. Jadi, saya berharap tahun depan jenama FFM akan lebih menyerlah lagi.
Dalam masa sama, Azmir turut menyambut baik cadangan netizen agar FINAS menganjurkan pertandingan reka bentuk poster FFM bagi memberi peluang kepada lebih ramai pereka menonjolkan kreativiti mereka.
“Mungkin FINAS boleh menganjurkan satu pertandingan poster dan memberi peluang kepada semua untuk menyertai. Insya-Allah, kita akan pertimbangkan perkara itu kerana saya lihat maklum balas kali ini sangat positif. Ini menunjukkan ramai peminat di luar sana mengikuti dan peka dengan FFM.
“Biasanya RTM akan mengeluarkan satu poster untuk mempromosikan acara pada hari berlangsungnya program dan insya-Allah kita akan perbaiki perkara itu.
“Kita akan hasilkan penjenamaan yang lebih mantap. Seperti yang selalu saya ingatkan kepada pasukan saya, kita perlu terus melakukan penambahbaikan, masih banyak ruang yang boleh diperbaiki.
“Sebagai contoh, ada komen yang menyebut tentang penggunaan AI untuk menghasilkan poster yang lebih cantik.
Terdahulu, poster rasmi FFM34 dikritik segelintir pengguna media sosial kerana dikatakan kurang menarik dan tidak menunjukkan sebarang kreativiti.