Filem Abah Saya, Uncle Mike bakal memberi nafas segar kepada sinema tempatan apabila mengangkat kisah benar penuh emosi seorang lelaki Cina yang menjaga tiga anak Melayu sehingga dewasa. Filem terbitan Astro Shaw dengan kerjasama 7 Up dan Mirinda ini akan menemui penonton bermula 28 Ogos 2025.
Mengisahkan tiga beradik yatim piatu, Rafei, Rasyid dan Rahman, perjalanan hidup mereka berubah apabila dipertemukan dengan seorang lelaki Cina bernama Uncle Mike. Dari situ, penonton akan disajikan dengan babak penuh pengorbanan, kasih sayang dan penerimaan yang melangkaui sempadan agama serta budaya.
Advertisement
Menurut Penerbit Eksekutif dan Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, kisah Uncle Mike bukan sekadar cerita keluarga biasa tetapi simbol kepada nilai masyarakat majmuk negara.
“Kisah Uncle Mike mencerminkan nilai sebenar masyarakat Malaysia. Filem ini wajar dikongsikan kerana ia menginspirasikan perpaduan serta mengukuhkan kepentingan nilai kemanusiaan dan belas kasihan.
"Kami tampilkan naratif jujur tentang kasih sayang, pengorbanan serta hubungan yang melangkaui budaya dan agama. Menyedari pasaran tempatan lebih didominasi genre aksi dan seram, kami buat keputusan berani untuk meneroka realisme emosi dalam genre drama.”
Kenyataan itu jelas menunjukkan keberanian Astro Shaw untuk keluar daripada zon selesa dengan mempertaruhkan sebuah drama realiti emosi, yang jarang sekali menjadi taruhan penerbit besar.
Tambah Raja Jastina lagi, filem ini menjadi bukti bagaimana gabungan dunia kreatif dan sektor komersial mampu menghasilkan impak positif.
“Filem ini juga menandakan satu lagi pencapaian dalam sinergi strategik antara sektor kreatif dan komersial. Selepas beberapa siri kolaborasi berjaya dengan Etika, kami berbangga menyambut 7 Up dan Mirinda sebagai rakan kerjasama. Langkah berani ini membawa makna besar dalam membentuk hala tuju masa depan industri filem Malaysia," ujarnya.
Sementara itu, Amy Gan, Naib Presiden Pemasaran Etika Sdn. Bhd. menegaskan bahawa mesej dalam filem ini seiring dengan semangat kebersamaan yang dibawa jenama 7 Up dan Mirinda sejak puluhan tahun.
“Abah Saya, Uncle Mike lebih daripada sekadar sebuah filem. Ia adalah peringatan bahawa kasih sayang dan penerimaan mampu mengatasi apa jua perbezaan, mewujudkan ikatan yang melambangkan semangat perpaduan Malaysia. Ketika kita menghampiri Hari Malaysia, kisah ini mencerminkan keindahan kepelbagaian serta kekuatan yang lahir apabila kita bersatu," katanya.
Jelas sekali, mesej ini tidak hanya relevan dalam konteks penceritaan filem, malah mengangkat nilai yang sangat dekat dengan kehidupan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
Bagi menghidupkan lagi pengalaman penonton, Etika memperkenalkan kit edisi khas bertema “Menangis itu OK, 7UP kan ada!”.
“Selama lebih 50 tahun, Mirinda telah menambah keceriaan dalam perayaan manakala 7 Up pula membawa kegembiraan dalam detik harian. Untuk tayangan perdana kali ini, kami cipta edisi terhad kit yang mengandungi tisu untuk air mata, bantal untuk keselesaan, cermin mata hitam untuk menyembunyikan emosi dan sudah tentu satu tin 7UP. Kit ini turut hadir dengan beg rekaan artis tempatan, Izzati Suza sebagai simbol kreativiti dan komuniti," tambahnya.
Idea kreatif itu sekaligus memberi sentuhan unik kepada kempen pemasaran, menjadikan penonton lebih dekat dengan kisah dan mesej filem ini.
Buat pertama kali, Astro Shaw melancarkan inisiatif #UncleMikeEdits, memberi peluang kepada peminat menghasilkan poster atau treler versi kreatif mereka sendiri. Pemenang bukan sahaja membawa pulang hadiah, malah nama mereka akan dikreditkan dalam filem.
Tidak ketinggalan, penonton juga boleh menyertai pertandingan digital #LuahanHati untuk memenangi tiket tayangan dan kit edisi khas 7Up.
Lebih menarik, treler Tahun Baharu Cina yang dilancarkan awal tahun ini bersama Uncle Mike sebenar meraih 1.8 juta tontonan di YouTube, membuktikan kisah ini sudah mula mencuri perhatian ramai.
Lagu tema rasmi bertajuk Lelah dendangan Mark Adam dijangka menambahkan lagi kesan emosi terhadap penonton.
Filem Abah Saya, Uncle Mike akan mula ditayangkan di seluruh pawagam tanah air bermula 28 Ogos 2025.