Skip to main content

Hiburan

'Fiona' Tertelan Topi Pengunjung Zoo

'Fiona' Tertelan Topi Pengunjung Zoo

Sekilas

  • Seekor badak air betina bernama Fiona di Zoo Cincinnati kini dipantau 24 jam selepas tertelan sebahagian topi rajutan yang jatuh ke dalam kandangnya.
  • Veterinar menggunakan rawatan sokongan dan prosedur kolonoskopi untuk membantu Fiona mengeluarkan objek tersebut secara semula jadi tanpa pembedahan.
  • Zoo mengingatkan pengunjung supaya tidak mencampakkan barang ke dalam kandang kerana ia boleh membahayakan haiwan dan mengganggu keselamatan mereka.
Advertisement

Seekor badak air betina terkenal di Zoo Cincinnati, Fiona, kini menjalani pemantauan veterinar 24 jam selepas tertelan sebahagian topi rajutan milik pengunjung yang secara tidak sengaja memasuki kandangnya.

Insiden pelik itu menyebabkan Fiona, yang menjadi antara tarikan utama zoo berkenaan, tidak lagi dibenarkan muncul di kawasan pameran sehingga keadaannya pulih.

Advertisement

Menurut laporan Associated Press (AP), topi berkenaan dipercayai terjatuh ke dalam habitat Fiona pada 8 November lalu selepas dicampakkan ke udara oleh seorang kanak-kanak yang berada berhampiran kawasan pameran.

Bagaimanapun, kejadian luar biasa berlaku apabila topi itu tersangkut pada kipas siling sebelum tercampak melepasi ruang kecil di atas tingkap pemerhatian setinggi kira-kira 3.6 meter dan jatuh ke dalam kandang haiwan berkenaan.

Jurucakap Zoo Cincinnati, Michelle Curley berkata, kejadian itu merupakan kemalangan yang sukar dipercayai dan hampir mustahil berulang.

Menurutnya, pasukan veterinar dan penjaga badak air kini memantau keadaan Fiona sepanjang masa bagi memastikan haiwan itu dapat mengeluarkan objek berkenaan secara semula jadi.

Keadaan Fiona mula membimbangkan apabila selera makannya dilaporkan berkurangan selepas kejadian tersebut.

Advertisement

Pemeriksaan ultrabunyi menunjukkan terdapat perubahan pada kedudukan usus yang memberi petunjuk bahawa objek berkenaan mungkin sedang bergerak melalui usus kecil.

Pasukan veterinar turut menjalankan prosedur kolonoskopi menggunakan alat sepanjang kira-kira 2.7 meter, namun pemeriksaan itu gagal mencapai kedudukan topi berkenaan.

Pengarah Kesihatan Haiwan zoo, Dr Mike Wenninger berkata, pembedahan bukan pilihan sesuai bagi mengeluarkan objek tersebut selepas pihaknya mendapatkan pandangan pakar veterinar dan perubatan manusia.

Justeru, pasukan perubatan memberikan rawatan sokongan termasuk cecair, ubat tahan sakit dan ubat mengurangkan rasa loya bagi membantu Fiona melalui proses pemulihan.

Zoo Cincinnati turut memaklumkan Fiona sebelum ini diberikan cecair melalui rektum dan enema bagi membantu pergerakan sistem penghadamannya.

Pihak zoo bagaimanapun masih berhati-hati kerana objek asing yang tersangkut dalam usus boleh menyebabkan penyumbatan, kerosakan tisu dan jangkitan serius.

Fiona bukan haiwan biasa bagi Zoo Cincinnati kerana kisah kelahirannya pada Januari 2017 pernah mendapat perhatian antarabangsa.

Badak air Nil itu dilahirkan enam minggu lebih awal daripada tempoh biasa dengan berat hanya 13.2 kilogram, jauh lebih rendah berbanding berat kelahiran normal spesies berkenaan.

Fiona pada awalnya tidak mampu berdiri sendiri dan memerlukan penjagaan intensif sepanjang masa daripada pasukan veterinar zoo.

Usaha menyelamatkan nyawanya mendapat perhatian jutaan pengguna media sosial sehingga Fiona menjadi selebriti internet.

Kisah perjuangannya turut memberi inspirasi kepada penerbitan buku, pakaian, produk makanan dan pelbagai cenderamata yang dijual kepada peminat.

Kini berusia sembilan tahun dengan berat kira-kira 1,090 kilogram, Fiona menjadi antara haiwan paling popular di zoo berkenaan.

Pihak zoo berharap Fiona mampu mengeluarkan topi itu secara semula jadi dan kembali pulih seperti biasa.

Dalam masa sama, pengunjung diingatkan supaya memastikan barangan peribadi disimpan dengan baik serta tidak mencampakkan sebarang objek ke dalam kandang haiwan.

Pihak zoo menegaskan objek asing yang tertelan boleh menyebabkan masalah kesihatan serius kepada haiwan, manakala pengunjung yang kehilangan barangan di dalam kandang diminta segera memaklumkan kepada kakitangan zoo dan tidak cuba mengambilnya sendiri.

Sumber: Sinar Harian

Anda mungkin berminat dengan

GJ Jewellery Emas Korea Emas Bangkok 24K Woman Anklet Daun/Jubin Sliver Gold/Gila-gila Love (26cm-27cm) GA-8

GJ Jewellery Emas Korea Emas Bangkok 24K Woman Anklet Daun/Jubin Sliver Gold/Gila-gila Love (26cm-27cm) GA-8

1pcs random Sonny Angel HIPPERS - Harvest Series Mini Figure Blind box Cute Hippers decoration Line up?12 types

1pcs random Sonny Angel HIPPERS - Harvest Series Mini Figure Blind box Cute Hippers decoration Line up?12 types

[REJURAN] Turnover Mask 5 Sheets | Hydration, Skin Renewal, Soothing, Glow

[REJURAN] Turnover Mask 5 Sheets | Hydration, Skin Renewal, Soothing, Glow

[NEW] Tracey Easy Off-Trail Card Holder With Lanyard Dompet Kad Wanita

[NEW] Tracey Easy Off-Trail Card Holder With Lanyard Dompet Kad Wanita

Popia Udang Gulung Dapur Ummi

Popia Udang Gulung Dapur Ummi

Must Watch Video

Advertisement
Advertisement