Sekilas
- Penyanyi dan komposer Malaysia, Firdhaus, menerima anugerah The Most Influential Singer-Songwriter of the Year di The Knights Award musim kelima sebagai pengiktirafan antarabangsa terhadap karya muziknya.
- Firdhaus yang berasal dari keluarga biasa kini sedang bersiap untuk jelajah konsert Flat Earth Theory di Hong Kong dan Taiwan, dengan hasrat membawa konsert itu ke Kuala Lumpur.
- The Knights Award musim kelima turut meraikan selebriti terkenal tempatan dan antarabangsa serta menampilkan persembahan muzik dan hiburan di PETRONAS Philharmonic Hall, Kuala Lumpur.
Penyanyi dan komposer Malaysia, Firdhaus meluahkan rasa bangga apabila hasil karya muziknya mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa selepas menerima anugerah The Most Influential Singer-Songwriter of the Year menerusi The Knights Award musim kelima.
Firdhaus atau nama sebenarnya Firdhaus Farmizi, 27, menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai satu penghargaan besar terhadap usaha dan perjalanan seninya sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini.
“Sebenarnya saya sangat gembira sebab dapat anugerah ini, sebab anugerah yang saya terima ini digelar sebagai The Most Influential Singer-Songwriter of the Year.
“Jadi bagi saya, lagu-lagu yang saya tulis, selama beberapa tahun ini ada orang nampak dan hargai. Jadi bila dapat ‘title’ macam ini, bagi saya, saya rasa sangat bangga dan sangat berterima kasih kepada The Knights Award,” katanya.

Lebih bermakna, penyanyi yang semakin mencipta nama dalam industri muzik Mandopop itu mengakui tidak pernah menyangka impiannya untuk mengembangkan kerjaya ke luar negara akhirnya menjadi kenyataan.
Menurut Firdhaus, dia berasal daripada keluarga biasa yang tidak mempunyai latar belakang dalam bidang muzik, namun perkara itu tidak menghalangnya untuk terus mengejar cita-cita.
“Saya datang dari famili yang biasa saja. Keluarga saya memang tak ada yang menceburi bidang muzik.
“Saya pun berharap saya dapat memberi inspirasi kepada kepada bakat-bakat yang baru, mereka yang nak masuk industri ini,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Firdhaus kini sedang membuat persiapan untuk meneruskan siri jelajah konsert Flat Earth Theory yang dijadualkan berlangsung di Hong Kong pada Disember ini, diikuti Taiwan pada tahun hadapan.
Malah, dia turut menyimpan hasrat untuk membawa konsert berkenaan pulang ke Kuala Lumpur sekiranya berpeluang.
Sementara itu, The Knights Award musim kelima yang mengangkat tema A World of Influence turut mengetengahkan barisan selebriti terkenal tempatan dan antarabangsa termasuk pelakon Malaysia, Zul Ariffin serta penyanyi popular Indonesia, Judika.
Tidak ketinggalan, pelakon dan penyanyi Hong Kong, Linda Chung serta legenda perfileman Hong Kong, David Chiang turut tersenarai antara personaliti yang diraikan menerusi penganjuran tersebut.
Antara nama lain yang diketengahkan termasuk penerbit dan pengarah terkenal China, Zhang Jizhong, penyanyi dan pelakon Hong Kong, Hubert Wu serta personaliti hiburan Malaysia, Jack Lim dan Lyanna Kea.
Majlis yang berlangsung di PETRONAS Philharmonic Hall, Menara Berkembar PETRONAS, Kuala Lumpur itu turut menampilkan persembahan daripada Judika, Hubert Wu dan Firdhaus.
Selain persembahan muzik, acara berkenaan turut dimeriahkan dengan persembahan ahli silap mata Korea Selatan, Sangsoon Kim serta juara dunia lompat tali dari Hong Kong, Cheung Pak Hung.

Untuk rekod, The Knights Award diasaskan oleh usahawan Malaysia, Dr. Zyro Wong sebagai platform pengiktirafan antarabangsa yang meraikan pencapaian individu dan organisasi dalam pelbagai industri.
Sejak diperkenalkan, platform tersebut telah mengiktiraf lebih 200 individu serta membina rangkaian antarabangsa yang melibatkan lebih 65 negara.
Penganjuran musim kelima itu turut mendapat sokongan barisan Council of Lords yang dianggotai beberapa tokoh berpengaruh termasuk pelakon Datuk Aaron Aziz.
Selain industri hiburan, The Knights Award turut meraikan kecemerlangan dalam bidang perniagaan, inovasi, keusahawanan dan kepimpinan menerusi tiga kategori utama iaitu The Duke, The Earl dan The Baron.