Personaliti media sosial, Chazynash memberi amaran kepada individu yang difahamkan telah menyebarkan fitnah mengenai dirinya di media sosial.
Menerusi satu hantaran di Threads, Chazynash memaklumkan bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap individu terlibat meskipun mereka telah memadam komen tersebut.
“Kepada individu yang menyebarkan fitnah ini, saya ingin maklumkan bahawa tindakan undang-undang akan diambil. Walaupun komen tersebut telah dipadam di TikTok, bukti tangkap layar telah saya simpan untuk tujuan lanjut,” tegasnya.
Dalam masa sama, Chazynash turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan pemilik akaun TikTok berkenaan agar menghubunginya secara peribadi.
“Sekiranya ada pihak yang mempunyai maklumat berkaitan pemilik akaun TikTok ini, sila DM saya. Fitnah bukan kebebasan bersuara,” katanya lagi.

Terdahulu, Chazynash menafikan dakwaan kononnya dia culas dalam menjalankan tanggungjawab sebagai seorang bapa selepas bercerai dengan bekas isterinya, Fatin Morat.
Menurutnya, kenyataan yang dibuat bukan bertujuan memburukkan mana-mana pihak, sebaliknya untuk membersihkan nama dan menjelaskan keadaan sebenar kepada masyarakat.
Sekadar info, Chazynash mengesahkan bahawa dia telah bercerai dengan Fatin Morat pada 23 Januari tahun lalu menerusi satu hantaran yang dimuat naik di Instagram.
Jelasnya, perpisahan tersebut berlaku atas kesilapannya sendiri dan merupakan keputusan yang dipersetujui bersama.