Sekilas
- Filem animasi FLEAK telah ditayangkan khas kepada kanak-kanak yang sedang menerima rawatan di Pusat Jagaan Harian Pediatrik PPUM bagi memberi mereka pengalaman menonton yang menyeronokkan.
- Program ini dianjurkan oleh Anima Vitae Point bersama Julie’s Biscuits dengan pengagihan beg cenderamata termasuk biskut dan patung edisi terhad FLEAK.
- FLEAK mengangkat tema persahabatan, keberanian dan keterangkuman, termasuk watak utama pengguna kerusi roda, yang memberi impak positif kepada penonton muda.
Filem animsi, FLEAK memberikan kegembiraan kepada pesakit kanak-kanak di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) apabila mereka berpeluang merasai sendiri keajaiban dunia sinema menerusi tayangan khas yang dibawakan terus kepada mereka.
Anima Vitae Point selaku penerbit filem animasi FLEAK bersama rakan promosi, Julie’s Biscuits, telah menganjurkan tayangan peribadi khas filem tersebut untuk kanak-kanak yang sedang menerima rawatan di Pusat Jagaan Harian Pediatrik PPUM pada Rabu.
Tayangan yang bermula pada jam 10.15 pagi itu turut diserikan dengan pengagihan beg cenderamata khas yang mengandungi biskut Julie’s serta patung mewah edisi terhad FLEAK.
Setiap kanak-kanak yang hadir membawa pulang hadiah istimewa selepas tayangan berakhir.
Lebih istimewa apabila inisiatif ini diwujudkan dengan tujuan yang cukup bermakna, iaitu memastikan kanak-kanak yang sedang menjalani rawatan perubatan tetap dapat merasai keterujaan, keajaiban dan semangat kebersamaan yang hadir menerusi pengalaman menonton filem.
FLEAK mengangkat kisah persahabatan, keberanian, imaginasi dan penerimaan melalui perspektif kanak-kanak yang berdepan pelbagai cabaran dengan cara mereka yang tersendiri.
Filem ini turut membawa signifikan tersendiri apabila salah seorang watak utamanya, Thomas, merupakan pengguna kerusi roda.
Justeru, tema ketabahan dan rasa kekitaan yang diketengahkan dijangka memberi impak mendalam kepada ramai penonton muda.
Majlis tayangan khas tersebut telah dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Anima Vitae Point merangkap penerbit FLEAK, Yuki Pang, serta Penolong Pengurus Penjenamaan dan Pemasaran Julie’s Biscuits, Wang Shu Fen.
“Setiap kanak-kanak berhak menikmati detik kegembiraan, imaginasi dan ruang untuk melupakan seketika cabaran yang mereka hadapi.
“FLEAK dihasilkan bagi meraikan keberanian, persahabatan serta kepercayaan bahawa setiap kanak-kanak berhak untuk dihargai dan dilihat.
“Dapat membawa filem ini secara terus kepada mereka serta berkongsi pengalaman tersebut hari ini merupakan sesuatu yang amat bermakna buat kami semua,” jelas Yuki.
Program berkenaan turut mendapat sokongan penuh daripada wakil-wakil PPUM termasuk Timbalan Pengarah PPUM, Puan Nur Azrida Azhari Wasi, Pengurus Kanan Jabatan Kerja Sosial Perubatan, Puan Fatimang Ladola, Pegawai Kejururawatan, Matron Syarifah Abdol Latif dan Ketua Jabatan Pediatrik, Prof. Madya Dr. Azanna Ahmad Kamar.
Bagi menjayakan program tersebut, sebahagian ruang di Pusat Jagaan Harian Pediatrik telah diubah menjadi pawagam sementara, sekali gus membolehkan kanak-kanak dan keluarga mereka menikmati filem itu bersama-sama dalam suasana yang selesa dan mesra.
Kerjasama antara Anima dan Julie’s Biscuits ini mencerminkan kepercayaan bersama bahawa hiburan mampu memainkan peranan penting dalam menceriakan suasana, mencipta kenangan indah dan membawa kegembiraan kepada kanak-kanak yang sedang berdepan situasi mencabar.
Sepanjang program berlangsung, kanak-kanak dilihat ketawa, berinteraksi dengan watak-watak dalam filem serta menghayati dunia berwarna-warni FLEAK, sekali gus mewujudkan suasana yang penuh ceria dan menyentuh hati.
Acara ini juga merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan FLEAK dalam mempromosikan nilai keterangkuman, kebaikan dan penglibatan komuniti, sekali gus memperluaskan mesej positif filem tersebut melangkaui layar pawagam kepada golongan kanak-kanak yang paling memerlukannya.