Sekilas
- Zizan Razak beri reaksi santai selepas gambarnya yang memakai baju polo jingga menjadi bahan meme tular di Threads.
- Pelakon itu memuat naik gambar dirinya sedang scroll Threads sambil bergurau tentang wajahnya yang sering muncul dalam meme tersebut.
- Zizan juga bakal muncul dalam filem Terbang arahan Chiu Keng Guan yang akan ditayangkan September ini.
Pelakon dan penyanyi Zizan Razak tampil memberikan respons selepas gambarnya tular dalam kalangan pengguna Threads yang menjadikannya sebagai bahan meme sejak semalam.
Fenomena tersebut tercetus apabila ramai pengguna menggunakan sekeping foto lama memaparkan Zizan menggayakan baju kolar berwarna jingga ketika sesi fotografi, sebelum dipadankan dengan pelbagai kapsyen lucu mengaitkan situasi harian.
Tidak berdiam diri, tuan badan sendiri tampil memberi reaksi selepas menyedari wajahnya memenuhi ruangan Threads.
“Dekat tiga jam scroll tapi masih muka sendiri juga lalu,” tulisnya.
Menerusi hantaran sama, Zizan turut memuat naik sekeping gambar dirinya sedang duduk sambil memegang telefon seolah-olah sedang meneliti pelbagai perkongsian mengenai dirinya.

Dalam satu lagi perkongsian, pelakon berusia 42 tahun itu memuat naik semula foto yang menjadi bahan meme tersebut.
“Bila buka Threads nak tengok gosip apa hari ini. Rupanya penuh muka sendiri,” katanya.
Perkongsian itu mengundang gelak tawa netizen yang rata-ratanya terhibur apabila Zizan memilih untuk ‘melayan’ trend tersebut, malah ramai terus menghasilkan lebih banyak meme menggunakan gambar berkenaan.

Terdahulu, foto Zizan yang diambil ketika sesi fotografi itu tular dalam Threads apabila pengguna media sosial menggunakannya sebagai gambar reaksi dengan pelbagai kapsyen berkaitan situasi lucu dan kehidupan seharian.

Menerusi perkembangan lain, Zizan bakal membintangi filem Terbang arahan Chiu Keng Guan yang diinspirasikan daripada kisah legenda rali negara, Karamjit Singh.
Filem tersebut dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara pada September depan.
Sumber: Threads