Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) akhirnya memberi maklum balas terhadap polemik kemenangan lagu Masing-Masing dendangan Ernie Zakri berbanding Old Love nyanyian Yuji dan Putri Dahlia pada kemuncak Anugerah Industri Muzik 2025 (AIM 2025) yang dibangkitkan Yuji selaku komposer lagu sama baru-baru ini.
Menerusi kenyataan rasmi yang diberikan kepada media, RIM menjelaskan pemenang bagi kategori ‘Lagu Paling Tinggi Distrim’ AIM24 ditentukan sepenuhnya berdasarkan data penstriman yang dibekalkan kepada RIM oleh penyedia data pihak ketiga melalui proses automatik.
Advertisement
“Lagu “Old Love” nyanyian Yuji dan Putri Dahlia tidak tersenarai dalam Carta Domestik RIM, carta mingguan rasmi yang menyenaraikan lagu tempatan paling tinggi distrim di Malaysia. Hal ini berlaku disebabkan isu teknikal dengan pendaftaran ISRC lagu tersebut,” tulis kenyataan yang dikeluarkan RIM.
Kenyataan sama turut menjelaskan, ISRC (International Standard Recording Code) ialah pengenal pasti unik dan kekal bagi setiap rakaman bunyi dan rakaman video muzik yang diterbitkan. Ia berfungsi sebagai “cap jari digital” yang membolehkan penjejakan jualan, penstriman dan royalti dilaksanakan dengan tepat merentasi perkhidmatan serta platform di seluruh dunia.
Untuk sesebuah lagu dikenalpasti sebagai “keluaran tempatan Malaysia” dalam Carta Domestik RIM, ISRC lagu tersebut mestilah bermula dengan awalan negara “MY”. Tag ini membolehkan sistem automatik mengklasifikasikan dan mengambil kira rakaman berkenaan sebagai sebahagian daripada hasil rakaman tempatan Malaysia.
“Dalam kes “Old Love”, lagu ini telah didaftarkan dengan tiga ISRC berbeza yang bermula dengan awalan luar negara (contohnya SE, TL, QZ) dan bukannya MY. Akibatnya, lagu tersebut tidak dikenalpasti secara automatik sebagai lagu tempatan Malaysia dan tidak dimasukkan dalam Carta Domestik RIM.
“Isu teknikal ini menjelaskan mengapa “Old Love”, walaupun mencapai jumlah strim yang tinggi, tidak diambil kira dalam kategori AIM24 ‘Lagu Paling Tinggi Distrim’ yang berpandukan sepenuhnya kepada Carta Domestik RIM,” ujar kenyataan itu lagi.
Sehubungan itu RIM menegaskan pihaknya mengambil maklum terhadap isu yang dibangkitkan dan ingin menegaskan kepentingan mendaftarkan ISRC melalui RIM bagi semua rakaman muzik yang diterbitkan di Malaysia. Langkah ini memastikan artis dan penerbit tempatan menerima pengiktirafan sewajarnya, sama ada dalam carta rasmi industri muzik mahupun dalam pertimbangan anugerah muzik.
RIM juga menggalakkan semua pihak berkepentingan dalam industri muzik; label, pengedar dan artis bebas untuk bekerjasama dengan RIM bagi memastikan pendaftaran kod ISRC dengan awalan negara “MY” bagi semua rakaman tempatan. Ini akan mengelakkan isu seumpama ini berulang di masa hadapan dan menjamin penonjolan muzik serta artis Malaysia di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Terdahulu Yuji meluahkan rasa terkilan apabila lagu hitnya, Old Love bersama Putri Dahlia, gagal meraih trofi Lagu Paling Tinggi Distrim pada Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-24, Sabtu lalu.
Yuji mendakwa, dia sukar memahami keputusan juri yang memilih lagu Masing Masing dendangan Ernie Zakri, biarpun Old Love mencatatkan jumlah strim jauh lebih tinggi.
"Lagu saya Old Love mencapai 360 juta strim di Spotify, tetapi AIM memberikan anugerah kepada lagu yang hanya meraih 12 juta strim untuk kategori 'Lagu strim terbanyak Malaysia',” tulisnya di media sosial.