Sekilas
- Firdaus Ghufran mengakui wujudnya kes gangguan seksual dalam industri hiburan dan berkongsi pengalamannya hampir menjadi mangsa namun berjaya mengelak.
- Firdaus menegaskan perbuatan tersebut tidak wajar kerana mangsa biasanya kanak-kanak yang masih polos dan memerlukan perlindungan keluarga.
- Beliau menyeru ibu bapa agar sentiasa memantau anak-anak yang terlibat dalam dunia lakonan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Tular mengenai isu seorang pelakon yang mendakwa dirinya pernah diliwat seorang pengarah ketika kanak-kanak, aktor, Firdaus Ghufran mengakui perkara sebegitu sememangnya wujud dalam industri hiburan.
Ujar pemilik nama Muhammad Firdaus Ghani Ghufran ini, dia juga pernah berdepan situasi sama namun berjaya mengelak dari menjadi mangsa.
Walau bagaimanapun, Firdaus memilih untuk tidak mendedahkan identiti individu tersebut.
“Dalam kalangan orang lain, perkara itu memang pernah berlaku. Saya sendiri hampir mengalaminya, tetapi tidak sampai terkena apa-apa. Mungkin individu tersebut menghormati saya.
“Benda ini ada. Semua itu memang wujud dan berlaku. Cuma bukan kepada saya. Hampir terjadi, tetapi saya dapat elak. Saya sempat menepis,” katanya kepada Gempak.
Firdaus berkongsi perkara tersebut ketika majlis tayangan perdana filem lakonannya yang berjudul MAK bertempat di TGV 1 Utama, Petaling Jaya pada Selasa.
Jelas abang kepada pelakon Muntazar Ghufran ini, perbuatan tersebut sama sekali tidak wajar dilakukan kerana individu yang tidak bertanggungjawab ini akan mengambil kesempatan dari sifat dan minda kanak-kanak yang polos.
“Budak-budak baharu masuk industri, mereka tidak tahu apa-apa. Mereka masih kosong. Kenapa sanggup buat perkara sebegitu kepada mereka? Kasihan.
“Mereka ada kehidupan, ada ibu bapa, ada keluarga. Perbuatan tidak waras seperti itu memang tidak wajar langsung,” luahnya.
Bercerita lanjut, Firdaus yang popular menerusi drama Budak Tebing bersyukur kerana mendapat pemantauan rapi daripada keluarga yang berjaya melindungi dirinya daripada apa-apa isu tidak bermoral.
“Keluarga saya sentiasa memantau hal-hal melibatkan unsur seksual kerana kami tahu isu ini sangat serius apabila membabitkan kanak-kanak. Itu sudah masuk kategori pedofilia.
“Sebab itu saya ingin pesan kepada ibu bapa yang membawa anak ke dunia lakonan, tolong jaga anak-anak kalian.
“Ada orang sanggup buat perkara sangat kotor tidak kira masa tanpa memikirkan kesan masa depan. Tapi saya percaya, karma itu wujud. Karma sangat nyata,” katanya.
Terdahulu, seorang pelakon tampil membuat pendedahan mengejutkan apabila mendakwa pernah diliwat seorang pengarah yang mempunyai hubungan persaudaraan dengannya ketika di zaman kanak-kanak.
Pelakon yang pernah membintangi drama Diari Ramadhan Rafique itu turut mendakwa, selama ini dia memilih untuk berdiam diri demi menjaga hubungan kekeluargaan.