Skip to main content

Berita Tempatan

‘The Garden of Love FATTMIRA’ Raikan Cinta Fattah & Amira Dalam Suasana Romantis, Lancar Lagu 'Always Will'

FATTMIRA

Pasangan selebriti terkenal Fattah Amin dan Amira Othman diraikan dalam suasana penuh romantis menerusi acara eksklusif Hi-Tea The Garden of Love FATTMIRA anjuran Usanita Sdn Bhd yang diadakan di Ukays Hills, Bukit Antarabangsa pada 18 Oktober lalu.

Lebih daripada sekadar majlis cinta, acara ini turut menjadi pentas pelancaran rasmi lagu “Always Will”, runut bunyi (OST) kepada telefilem Poskad Cinta Dari Auckland yang kini ditayangkan di aplikasi Usanita TV (UTV).

Advertisement

Lagu tersebut ciptaan Ajai dinyanyikan sendiri oleh Amira Othman, yang mempersembahkan lagu itu secara langsung di majlis berkenaan.

Majlis yang dihoskan oleh Awal Ashaari dan Yasmin Hani turut dihadiri pemenang serta pelanggan bertuah UTV daripada cabaran di TikTok, portal Gempak dan radio ERA.

Dihiasi konsep taman romantik, suasana majlis menggambarkan kisah cinta dua bintang ini yang kini menjadi simbol pasangan ideal dunia hiburan.

Segmen istimewa 'FATTMIRA Love Story' mencuri perhatian apabila Amira mendedahkan sisi lembut Fattah sebagai suami penyayang dan matang.

“Fattah ini jenis suami yang tak suka panjangkan hal. Kalau saya merajuk, dia cepat-cepat selesaikan. Dia akan terus cakap, ‘Dah lah, tak payah panjang-panjang.’ Saya pun cepat sejuk dan terus balas, ‘Okeylah, selesai,’” katanya sambil tersenyum.

Fattah pula secara bersahaja menitipkan doa agar jodoh mereka kekal hingga ke akhir hayat.

“Saya selalu cakap, isteri syurga, isteri syurga. Semoga jodoh kami sampai syurga,” ujarnya.

Menurut Pengasas Usanita Sdn Bhd, Datuk Adzliana Prof. Dato’ Sri Dr. Hasan (Datuk Nana), acara ini bukan sahaja meraikan cinta dua figura terkenal, tetapi turut menandakan pelancaran pertama Usanita Entertainment, cabang kreatif di bawah platform UTV.

“Telefilem Poskad Cinta Dari Auckland menerima sambutan luar biasa dengan lebih 20.1 juta tontonan di aplikasi UTV dan media sosial sejak dilancarkan pada 28 Ogos lalu. Ia membuktikan karya tempatan masih mendapat tempat di hati penonton,” katanya.

Sementara itu, komposer Ajai mendedahkan inspirasi lagu 'Always Will' diambil daripada jalan cerita telefilem berkenaan.

“Saya cipta lagu ini berdasarkan sinopsis dan visual cerita, serta sesuaikan dengan vokal Amira yang saya tahu memiliki warna suara yang tersendiri,” jelasnya.

Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan daripada Sophia Albarakbah dan Nadeera Zaini, yang mempersembahkan lagu baharu mereka Peluk, menambahkan lagi kehangatan cinta dan kemewahan acara tersebut.

Poskad Cinta Dari Auckland arahan Izuan Mokhtar menampilkan barisan pelakon hebat seperti Fattah Amin, Amira Othman, Irfan Haris, Bell Ngasri, dan Umie Aida, mengisahkan sekeping poskad yang tersalah alamat hingga mempertemukan dua jiwa dalam kisah cinta penuh emosi di bumi New Zealand.

Telefilem ini boleh ditonton secara eksklusif di Usanita TV (UTV) yang menampilkan kandungan tempatan berkonsep kekeluargaan, cinta dan nilai masyarakat.

Must-Watch Video

Advertisement