Sekilas
- Mendua terpaksa membuat persembahan tanpa Diana yang sedang berehat selepas kehilangan bapanya, memberi kesan emosi kepada ahli kumpulan.
- Walaupun diuji dengan kehilangan, Mendua terus tampil cemerlang dan berjaya mendapat markah tinggi dalam konsert minggu kelima GV12.
- Gegar Vaganza 12 diteruskan dengan 13 peserta dari Malaysia, Indonesia dan Singapura, disiarkan secara langsung setiap Ahad di Astro Ria mulai 2 November 2025.
Bintang Gegar Vaganza 12 (GV12), Mendua sekali lagi terpaksa membuat persembahan
tanpa anggota lengkap selepas ketiadaan Diana yang kini perlu berada di samping keluarga selepas kematian bapanya.
Menurut ahli kumpulan iaitu Sasha, perkara ini agak berat untuk mereka terima memandangkan ia berlaku dalam masa yang singkat.
“Malam ini, kami berdua lagi seperti dua minggu yang lalu. Saya sebenarnya sangat sedih. Perasaan saya sangat bingung.Nak menangis juga tiada waktu.
“Ini adalah hal yang kami sendiri tidak jangka akan berlaku. Saya jadi teringat semula apa yang berlaku dua minggu lalu. Jika, sebelum ini soalan itu ditujukan buat Pungky, hari ini, Diana pula.
“Saya rasa seperti anxiety. Saya berdoa kepada Tuhan, kita terima apa yang berlaku tapi cukuplah ujian ini. Yang pergi ini adalah ibu bapa dan bukan sekadar orang terdekat,” katanya kepada Gempak
Walau bagaimanapun, Sasha menerima segala ujian ini dengan hati yang terbuka dan menganggap ada hikmah disebaliknya.
“Semoga kami dapat menjadi contoh walau apapun yang berlaku, kita tetap harus bangkit.
“Kehilangan itu bukanlah sesuatu yang kita boleh halang tapi bagaimana cara kita menerima dan mensyukuri apa yang masih ada itu lebih penting.
“Semoga ada sesuatu yang indah sedang dipersiapkan buat kami. Setiap yang berlaku itu ada hikmahnya,” ujarnya.
Mendua berkongsi perkara tersebut usai konsert minggu kelima dia GV12 yang berlangsung di Auditorium MBSA, Shah Alam pada Ahad.
Sementara itu, Pungky mengakui hal ini sedikit sebanyak turut memberi kesan kepada emosi dan mentalnya.
“Segalanya berlaku terlalu cepat dan hanya berselang dua minggu. Saya sendiri belum pulih sepenuhnya daripada perasaan kehilangan orang yang amat saya cintai.
“Tiba-tiba saya harus mendengar khabar seperti ini lagi daripada sahabat kami pula. Dia pula harus mengharungi kehilangan. Ini sangat susah dan berat buat kami,” katanya.
Dalam pada itu, Shasha dan Pungky mengakui kesedihan mereka terubat selepas meraih markah tinggi daripada juri.
“Bila dapat markah yang baik, itu sedikit sebanyak dapat menghiburkan hati kami. Dua minggu lalu, saya berkata kepada Diana, tanpa Pungky, kita tetap boleh melakukannya. Alhamdulillah, kami dapat antara markah tertinggi,” ujarnya.
Pada minggu kelima, Iskandar yang menyanyikan lagu Kelentang-Kelentong nyanyian asal Hael Husaini telah meraih pujian juri dan mengekalkan kedudukan pertama dengan markah 74.50 peratus.
Manakala Mendua tetap berjaya menampilkan persembahan terbaik sekali gus meneruskan momentum cemerlang untuk berada di kedudukan dua terbaik pada malam minggu kelima GV12 tanpa kelibat Diana.
Sementara itu, Shae dan Rahmat Ekamatra mendapat tempat dua terendah dengan masing-masing mengumpul markah keseluruhan sebanyak 59.50 peratus serta 56.00 peratus.
Walau bagaimanapun, Rahmat Ekamatra yang berada di kedudukan terendah berjaya menarik nafas lega apabila tiada penyingkiran diumumkan.
13 bintang Gegar Vaganza musim ini adalah Nubhan, Mark Adam, Datuk Elaine Kang, Krisya, Korie, Rahmat Ekamatra, Mell Sakura dan Freshies (Ejie dan Shima).
Dari Indonesia, pentas GV12 turut diserikan dengan kehadiran Shae, Ruri Repvblik serta trio Mendua (Pungky, Sasha & Diana) yang membawa warna muzik tersendiri.
Sementara itu, Singapura tampil dengan bangga menerusi penyertaan Iskandar Ismail, nama yang cukup sinonim dengan keunggulan vokal dan karisma.
Menambah elemen misteri dan kejutan, SHY8 hadir sebagai peserta wildcard musim ini, menjanjikan sentuhan seni yang unik serta kejutan segar yang bakal mencetus fenomena baharu dalam GV-Verse.
Penganjuran Gegar Vaganza pada tahun ini masih mengekalkan Datuk Syafinaz Selamat, Hetty Koes Endang dan Datuk Ramli MS selaku juri.
Acara yang berlangsung selama 12 minggu ini akan dikendalikan oleh pengacara hebat Nabil Ahmad dan Sherry Alhadad.
Gegar Vaganza V12 bakal bersiaran secara langsung di MBSA Shah Alam mulai 2 November 2025, setiap Ahad, jam 9 malam, dan dipancarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria (saluran 104).
GV12 turut boleh disaksikan melalui strim secara On Demand di Astro GO dan sooka. Langgan Pek Astro One, hanya RM49.99 sebulan.
Strim hiburan tanpa henti untuk seisi keluarga dan tingkatkan pengalaman penstriman anda dengan Astro Fibre 500Mbps beserta Pek Hiburan pada harga RM139.99 sebulan. Layari www.astro.com.myatau WhatsApp ke 03-9543 3838 untuk melanggan atau menaik taraf hari ini.