Sekilas
- Juara Gegar Vaganza 12, Iskandar Ismail, bercadang untuk berkongsi sebahagian wang kemenangan dengan golongan memerlukan termasuk anak yatim.
- Iskandar berasa terharu dapat berduet dengan Jaclyn Victor pada konsert akhir GV12 walaupun latihan bersama agak terhad.
- Iskandar dinobatkan sebagai juara GV12, diikuti Mendua di tempat kedua, manakala Mark Adam, Mell Sakura, dan Ruri Repvblik masing-masing menduduki tempat keempat hingga keenam.
Juara Gegar Vaganza 12 (GV12), Iskandar Ismail meluahkan hasrat untuk berkongsi sebahagian daripada wang kemenangan kepada golongan yang memerlukan.
Menurut Iskandar, 47, dia tidak kisah untuk berkongsi rezeki bahkan niatnya itu sebenarnya merupakan hajat yang ingin ditunaikan selepas memenangi program Gegar Vaganza 12.
“Saya dah buat hajat sebenarnya, sebahagian daripada hadiah, saya ingin beri kepada mereka yang memerlukan seperti anak-anak yatim.
“Saya tidak kisah, kalau boleh tolong di Singapura, di Malaysia pun saya boleh tolong. Insya-Allah memang doa dan hajat saya untuk melakukan perkara itu.
“Dulu saya pernah menjadi juara dalam satu pertandingan di Singapura dan saya menderma sebahagian wang kemenangan kepada Yayasan Kanser,” ujarnya.
Iskandar berkata demikian ketika ditemui di sidang media konsert akhir GV12 yang diadakan di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam, Selangor (MBSA) pada malam Ahad.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai persembahannya, Iskandar menyatakan rasa terharu dan berbesar hati dapat berduet bersama penyanyi Jaclyn Victor yang juga merupakan juara Gegar Vaganza ke-9.
“Saya sangat berbesar hati dapat berduet dengan Jac, saya kenal dia sejak tahun 2005 ketika membuat satu persembahan.
“Bila pertama kali jumpa dia pada ketika itu, saya lihat dia dan dengar suaranya… Dia mempunyai suara yang sangat sedap.
“Kemudian bila kami jumpa berkali-kali pun masih belum dapat berduet bersama. Jadi bila dapat duet pada malam akhir GV12 ini, saya rasa macam mimpi jadi kenyataan.
“Walaupun kami tidak mmepunyai banyak sesi latihan bersama jadi bila atas pentas kami lakukan yang terbaik. Dia merupakan seorang penyanyi yang sangat profesional,” jelasnya.
Gegar Vaganza 12 menyaksikan Iskandar Ismail dinobatkan sebagai juara manakala tempat kedua menjadi milik Mendua.
Sementara itu, Mark Adam dinobatkan sebagai pemenang tempat keempat, satu-satunya finalis wanita iaitu Mell Sakura pula ditempat kelima dan Ruri Repvblik ditempat keenam.