Juri tetap Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12), Datuk Syafinaz Selamat, menyifatkan kehadiran penyanyi dan guru vokal Mark Adam sebagai antara elemen menarik dalam barisan bintang kali ini.
Kata Shafinaz, pengalaman luas Mark dalam bidang nyanyian dan pengajaran vokal menjadikan penyertaannya sesuatu yang istimewa.
Advertisement
Bagaimanapun Syafinaz berharap Mark akan kekal terbuka menerima pandangan dan teguran juri berkaitan dengan persembahan.
“Kita juga ada penyanyi seperti Mark Adam, yang bukan hanya menyanyi tetapi juga seorang guru vokal.
“Jadi saya harap dia akan terbuka menerima sebarang kritikan. Dia pernah kata mahu belajar, dan bagi saya, ini merupakan platform yang sangat baik untuk dia terus belajar dan berkembang,” katanya ketika ditemui Gempak.

Dalam pada itu, Syafinaz juga menyatakan rasa teruja dengan barisan bintang kali ini yang disifatkan penuh warna dan kejutan.
“Line up kali ini menarik, sebab kita tahu macam Nubhan dan Shae, mereka memang kita kenal. Tapi bila nampak Shy8, saya sebenarnya terkejut juga, sebab saya dah lupa yang dia pernah menyanyi. Saya ingatkan dia aktif berlakon saja.
“Bagi saya, itu yang buat persembahan kali ini lebih menarik. Kita nak tengok macam mana gaya dan perkembangan dia sepanjang rancangan nanti.
“Kita juga nak tengok macam mana dia boleh menyesuaikan diri dengan situasi semasa, sama ada dia mampu jadi relevan dengan muzik sekarang.
“Itu pasti akan jadi sesuatu yang menyeronokkan untuk disaksikan. Begitu juga dengan Datuk Elaine Kang. Saya rasa memang akan sangat menghiburkan bila melihat gelagat Datuk di atas pentas nanti,” jelasnya.
Tambah Syafinaz lagi, dia juga sangat menantikan persembahan berkumpulan yang menonjolkan keharmonian vokal dan kerjasama antara bintang.
“Seperti biasa, saya memang suka persembahan berkumpulan. Jadi, saya tak sabar nak lihat nyanyian yang penuh harmoni.
“Dengan adanya dua kumpulan kali ini, kita nak tengok bagaimana mereka bekerjasama dan menonjolkan keserasian masing-masing,” ujarnya.
Dalam pada itu, Syafinaz juga berharap semua bintang dapat menjadikan pentas Gegar Vaganza sebagai peluang untuk memperbaharui jenama diri masing-masing tanpa meninggalkan identiti asal.
“Satu lagi perkara yang saya harapkan daripada semua bintang adalah supaya mereka melihat pentas GV ini sebagai ruang untuk mereka rebrand diri.
“Contohnya seperti Shy8, dia ada kata yang dia mahu orang ingat dia sebagai penyanyi semula. Jadi saya harap dia dapat gunakan peluang ini untuk membina semula jenama dirinya dan cuba sesuatu yang baru.
“Pentas GV memang tempat terbaik untuk ‘explore’ perkara baharu, tetapi pada masa yang sama, jangan sesekali lupa atau hilang identiti diri,” pesannya.
Selain Mark Adam, 12 lagi bintang Gegar Vaganza musim ini adalah Nubhan, Mell Sakura Band, Datuk Elaine Kang, Krisya, Korie, Rahmat Ekamatra dan Freshies (Ejie dan Shima).
Dari Indonesia, pentas GV12 turut diserikan dengan kehadiran Shae, Ruri Repvblik serta trio Mendua (Pungky, Sasha & Diana) yang membawa warna muzik tersendiri.
Sementara itu, Singapura tampil dengan bangga menerusi penyertaan Iskandar Ismail, nama yang cukup sinonim dengan keunggulan vokal dan karisma.
Menambah elemen misteri dan kejutan, SHY8 hadir sebagai peserta wildcard musim ini, menjanjikan sentuhan seni yang unik serta kejutan segar yang bakal mencetus fenomena baharu dalam GV-Verse.
Penganjuran Gegar Vaganza pada tahun ini juga masih mengekalkan Datuk Syafinaz Selamat, Hetty Koes Endang dan Datuk Ramli MS selaku juri.
Acara yang berlangsung selama 12 minggu ini akan dikendalikan oleh pengacara hebat Nabil Ahmad dan Sherry Alhadad.
Gegar Vaganza V12 bakal bersiaran secara langsung di MBSA Shah Alam mulai 2 November 2025, setiap Ahad, jam 9 malam, dan dipancarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria (saluran 104).
GV12 turut boleh disaksikan melalui strim secara On Demand di Astro GO dan sooka. Langgan Pek Astro One, hanya RM49.99 sebulan.
Strim hiburan tanpa henti untuk seisi keluarga dan tingkatkan pengalaman penstriman anda dengan Astro Fibre 500Mbps beserta Pek Hiburan pada harga RM139.99 sebulan. Layari www.astro.com.my atau WhatsApp ke 03-9543 3838 untuk melanggan atau menaik taraf hari ini.