Skip to main content

Hiburan

Gegar Vaganza 12: Mell Sakura Terguris Hati, Terkilan Terima Komen ‘Menjijikkan’ - “Saya Saudara Baharu, Ia Buatkan Saya Down & Keliru”

Mell Sakura

Sekilas

  • Mell Sakura berkongsi rasa terkilan selepas menerima komen negatif yang tidak berkaitan dengan persembahannya di Gegar Vaganza 12.
  • Pelantun lagu Setia Hujung Nyawa itu mengakui komen tersebut mengganggu emosinya terutama kerana dia masih baharu dalam tujuh tahun bergelar mualaf.
  • Mell bersyukur kerana mendapat sokongan keluarga dan rakan yang membantu dia kekal bersemangat dan tidak melayan komen negatif tersebut.

Bintang Gegar Vaganza 12 (GV12), Mell Sakura meluahkan rasa terkilan apabila menerima komen kurang menyenangkan daripada netizen susulan persembahannya di program berkenaan.

Ujar Mell atau nama sebenarnya Melly Matius, komen tersebut tidak sepatutnya ditulis ditambah pula ia sama sekali tidak mempunyai kaitan dengan persembahannya di GV12.

Tambah Mell, banyak lagi perkara yang perlu dipelajari memandangkan dirinya tidak sampai sedekad bergelar saudara baharu.

“Antara komen yang saya terima adalah mereka kata menjijikkan terhadap video-video persembahan saya di GV12.

“Pada saya mereka tak perlu komen dan judge begitu sebab apa yang mereka komen tak ada kaitan.

“Kita manusia, masih banyak lagi perkara yang perlu saya belajar untuk mendalami agama Islam,” katanya kepada Gempak.

Dalam pada itu, pelantun lagu Setia Hujung Nyawa ini mengakui komen yang diberikan itu telah membuatkan emosinya sedikit terganggu.

“Bila saya terima komen sebegitu saya agak terasa dan tak sangka masih ada lagi orang nak komen macam itu.

“Saya masih baharu dalam tujuh tahun bergelar mualaf jadi bila terima komen sebegitu buatkan saya lagi down dan menjadi macam keliru,” tambahnya.

Walau bagaimanapun, Mell meluahkan rasa syukur kerana mempunyai ahli keluarga dan rakan yang sentiasa memberikan sokongan dan membantunya kembali bersemangat.

“Tulang belakang yang menjadi kekuatan saya adalah keluarga dan kawan-kawan. Mereka selalu pesan kepada saya supaya tidak melayan komen-komen tersebut.

“Pada mulanya bila baca komen itu memang sangat terasa tapi sekarang ini saya buat macam angin lalu saja tak nak hiraukan,” kongsinya.

Terdahulu, Mell dilihat gagal menahan sebak ketika berkongsi komen yang diterimanya dalam satu paparan video sebelum persembahannya di minggu kelima GV12.

Must-Watch Video

Advertisement