Skip to main content

Selebriti

Gegar Vaganza 12: “Nombor Tiga Bukan ‘Padan Muka’, Bagi Saya Ini Rezeki…” - Nubhan

Nubhan tempat ketiga GV12

Sekilas

  • Nubhan bersyukur dinobatkan tempat ketiga Gegar Vaganza 12 walaupun ada netizen yang seolah-olah gembira dia tidak jadi juara.
  • Dia menegaskan pencapaian itu tetap bermakna dan bukan sesuatu yang patut dipandang rendah kerana menjadi finalis sudah satu kejayaan.
  • Nubhan berterima kasih atas sokongan peminat yang sentiasa percaya dengan kemampuannya sepanjang pertandingan berlangsung.

Penyanyi, Nubhan meluahkan rasa syukur dinobatkan sebagai pemenang tempat ketiga Gegar Vaganza 12 (GV12) biarpun ada segelintir netizen seolah-olah gembira melihat dirinya tidak bergelar juara.

Menurut Nubhan atau nama sebenarnya Ahmad Nubhan Ahmad, 40, kedudukan di tempat ketiga bukanlah sesuatu yang wajar dijadikan bahan sindiran atau dipandang rendah, kerana setiap pencapaian mempunyai nilai tersendiri.

"Nombor tiga bukan 'padan muka' (sebab bukan juara). Bagi saya ini semua rezeki dan satu perjalanan daripada minggu pertama sampai akhir bukan kerja senang.

"Kalau saya tersingkir lebih awal, lain ceritalah. Apabila sudah menjadi finalis (peserta) sasaran saya adalah sekurang-kurangnya saya bertanding ke peringkat akhir.

"Nak jadi juara bukan senang. Kalau menang itu bonus. Dapat tempat ketiga pun Alhamdulillah (syukur)," ujarnya.

Nubhan berkata demikian ketika ditemui di sidang media konsert akhir GV12 yang diadakan di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam, Selangor (MBSA) pada malam Ahad.

Mengulas mengenai kemenangannya, Nubhan berkata dia berasa terharu dengan sokongan peminat yang sentiasa percaya dengan kemampuannya sepanjang pertandingan berlangsung.

"Terima kasih yang meramalkan saya sebagai juara. Alhamdulillah maksudnya mereka (peminat) percaya saya ada harapan untuk menang.

"Sokongan daripada peminat sejak minggu pertama sudah cukup untuk membuatkan saya gembira," ulasnya.

Untuk info, konsert akhir Gegar Vaganza menyaksikan Iskandar Ismail dinobatkan sebagai juara manakala tempat kedua menjadi milik Mendua.

Sementara itu, Mark Adam dinobatkan sebagai pemenang tempat keempat, satu-satunya finalis wanita iaitu Mell Sakura di tempat kelima dan Ruri Repvblik di tempat keenam.

 

Must-Watch Video

Advertisement