Sekilas
- Ketua juri Gegar Vaganza 12, Datuk Ramli M.S, mencadangkan agar juri diberi kuasa memilih lagu untuk peserta bermula minggu kedua pertandingan pada musim akan datang.
- Ramli menegaskan pemilihan lagu akan dibuat berdasarkan kemampuan peserta dan bukan untuk menjatuhkan mereka, bagi menghasilkan reaksi yang lebih semulajadi dan menghiburkan.
- Gegar Vaganza 12 dimenangi oleh Iskandar Ismail, diikuti Mendua di tempat kedua dan Nubhan di tempat ketiga.
Ketua juri Gegar Vaganza 12 (GV12), Datuk Ramli M.S mencadangkan sedikit perubahan terhadap format pertandingan nyanyian popular itu sekiranya dia kembali untuk musim akan datang.
Menurut Ramli, antara pembaharuan yang ingin diperkenalkan ialah kuasa pemilihan lagu sepenuhnya di tangan juri, bermula minggu kedua pertandingan.
“Kalau saya ada lagi di GV13, saya nak tukar rules, kami yang pilih lagu not you. Untuk minggu pertama kami beri anda nyanyi lagu pilihan sendiri.
“Tetapi untuk minggu kedua mereka tidak tahu lagu apa yang mereka akan dapat,” katanya ketika ditemui Gempak
Ramli berkata demikian ketika ditemui di sidang media konsert akhir GV12 yang diadakan di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam, Selangor (MBSA) pada malam Ahad.
Jelas Ramli lagi, pemilihan lagu tetap dibuat berdasarkan kelebihan dan kemampuan peserta, bukan untuk menjatuhkan mereka.
“Kami akan ‘study’ apa yang mereka boleh lakukan dan apa yang mereka tidak boleh buat. Tak adalah kita bagi lagu yang mereka memang tak boleh menyanyi, itu mendajal,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ramli juga turut memberikan contoh segmen ‘Funfair Tok Ram’, di mana elemen kejutan mampu menghasilkan reaksi lebih jujur dan menghiburkan.
“Bila peserta tak tahu lagu, reaksi yang keluar itu lebih semulajadi. Bila dah dapat lagu, mereka belajar bersungguh-sungguh dan keluar perangai sendiri. Itu good TV. Itu baru Gegar Vaganza.
“Kalau setakat sudah boleh dijangka, saya 12 tahun pun boleh buat. Jadi kena tukar. ‘Music need change’,” katanya.
Gegar Vaganza 12 menyaksikan Iskandar Ismail dinobatkan sebagai juara, tempat kedua menjadi milik Mendua, manakala Nubhan pula meraih tempat ketiga.
Sementara itu, Mark Adam dinobatkan sebagai pemenang tempat keempat, satu-satunya finalis wanita iaitu Mell Sakura pula ditempat kelima dan Ruri Repvblik ditempat keenam.