Bintang Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12), Mark Adam meluahkan rasa syukur atas pencapaiannya selepas dinobatkan sebagai pemenang tempat keempat.
Menurut Mark, atau nama sebenarnya Mark Adam Muhammad, setiap perjalanan hidup termasuk keputusan dalam pertandingan adalah rezeki yang telah ditentukan oleh Allah SWT, dan dia menerima segala ketentuan itu dengan hati terbuka.
“Saya sentiasa ada reda. Saya belajar perkara itu dalam Islam. Saya percaya sebelum persembahan ini, sebelum final ini, Allah sudah bagi rezeki kepada masing-masing. Hidup kita sudah ditentukan.
“Saya sangat bersyukur dapat pergi ke final dan dapat nombor empat. Bukan senang. Siapa pun yang menang tempat pertama, kedua atau ketiga, itu adalah rezeki mereka. Dan ini rezeki saya,” katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, Mark turut menzahirkan penghargaan terhadap isterinya yang disifatkan sebagai tulang belakang dan sumber kekuatannya sepanjang perjalanan seni, termasuk sepanjang penyertaannya dalam GV 12.
Menurut Mark, kejayaan melangkah ke pentas final dan pengiktirafan yang diterimanya bukanlah kemenangan peribadi semata-mata, sebaliknya hadiah istimewa buat wanita yang sentiasa menyokongnya tanpa jemu.
“Saya memang untung. Saya memang untung dapat isteri seperti isteri saya. Saya tak tahu nak cakap apa. Isteri saya sentiasa ada di belakang saya, uruskan saya, walaupun sebelum masuk GV lagi. Kemenangan sampai ke final, tempat keempat dan nombor satu sebagai ikon, semua ini adalah hadiah untuk dia.
“Isteri saya adalah dunia akhirat saya. Dia hanya seorang. Bagi saya, isteri saya adalah syurga saya. Sampai ke akhir hayat, insya-Allah. Till Jannah. I love you,” tambahnya.