Skip to main content

Hiburan

Gegar Vaganza 12: Sudah 23 Tahun Shae Hilang Pendengaran - “Saya Langsung Tidak Boleh…”

Shae

Bintang Gegar Vaganza 12 (GV12), Shae akui mempunyai masalah pendengaran sejak usianya 8 tahun.

Namun menurut Shae, dia tidak pernah berkongsi perkara tersebut kepada orang tuanya kerana tidak mahu mereka berdua risau.

“Sejak usia 8 tahun, saya mulai sedar susah untuk mendengar. Dari duduk di bahagian belakang dalam kelas, saya pindah ke bahagian depan.

“Saya pada mulanya merahsiakan masalah telinga daripada ibu bapa sehingga usia saya 16 tahun, barulah saya beritahu kepada ibu bapa bahawa mengalami masalah pendengaran,” katanya. 

Tambah Shae, tiga pakar perubatan mengesahkan bahawa telinga kirinya tidak lagi berfungsi.

Meskipun boleh melakukan pembedahan namun ia tidak memberi jaminan kepadanya untuk pulih seperti dulu. 

“Saya berjumpa dengan tiga doktor pakar telinga dan ketiga-tiga mereka mengesahkan memang telinga kiri saya tidak berfungsi, telinga kiri saya pekak. Doktor maklumkan pendengaran manusia yang normal adalah antara julat 0 hingga 25, tetapi telinga kiri saya 112. Maksudnya mati total, langsung tidak boleh dengar.

“Doktor kata boleh lakukan pembedahan, namun tidak memberi jaminan bahawa telinga saya boleh sembuh semula atau sebaliknya,” tambahnya.

Shae juga tidak menafikan masalah pendengaran itu kadang kala menjejaskan persembahannya di pentas.

“Sebagai penyanyi, kadang kala masalah itu menganggu persembahan dan menyebabkan saya tidak boleh menyanyi dengan baik.

“Tetapi untungnya zaman sekarang ada alat bantuan untuk penyanyi iaitu ‘ear monitar’, selagi alat itu berfungsi dengan baik, tidak menjadi masalah untuk saya,” ujar Shae.

Must-Watch Video

Advertisement