Skip to main content

Hiburan

Gegar Vaganza 12: Tiada Ruang Silap Di Pentas Akhir, Ini Pesanan Noryn Aziz Buat Finalis - "Perkara Lain Boleh Dimaafkan Tapi..."

Noryn Aziz

Sepanjang bersama dengan bintang Gegar Vaganza 12 (GV12), penyanyi dan guru vokal, Noryn Aziz akui setiap daripada finalis yang akan berentap di pentas akhir mempunyai kelebihan yang tersendiri.

Menurutnya, setiap finalis mempunyai kemajuan tersendiri hasil latihan berterusan dan pengalaman yang diperoleh sepanjang program itu berlangsung.

“Bila saya bersama mereka, memang kesemua finalis ini ada perkembangan masing-masing. Setiap penyanyi itu kita tak boleh jangka akan terus menjadi hebat, tetapi saya lihat progres mereka sangat bagus.

“Jadi saya rasa tidak adil untuk saya sebut siapa yang akan jadi juara Gegar Vaganza musim kali ini,” katanya kepada Gempak.

Noryn berkata demikian ketika ditemui di lokasi penggambaran TVC Astro di Banting, Selangor pada Jumaat. 

Mengulas tentang cabaran di peringkat final, Noryn menegaskan bahawa para finalis tidak lagi boleh melakukan kesilapan asas dalam nyanyian kerana setiap perincian akan dinilai dengan teliti.

“Bila dah sampai ke peringkat final, memang tak boleh buat kesilapan langsung. Intonasi, pitching dan tempo ini semua asas sebagai seorang penyanyi. Memang tak boleh ‘blackout’ langsung. Mungkin perkara lain boleh dimaafkan, tetapi untuk asas nyanyian memang tak boleh. Kena sempurna,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Noryn turut berharap para finalis yang terdiri daripada Nubhan, Iskandar Ismail, Mendua, Ruri Repbvlik, Mell Sakura dan Mark Adam sudah memahami kekuatan dan kelemahan masing-masing setelah melalui pelbagai fasa latihan sepanjang pertandingan.

“Sepanjang perjalanan ini mereka sudah belajar tentang kelemahan dan kelebihan diri masing-masing. Akhirnya, semuanya bergantung kepada diri sendiri. Walau apa pun nasihat yang diberi, individu yang berada di atas pentas itulah yang akan merealisasikannya,” tambahnya.

Penganjuran Gegar Vaganza pada tahun ini masih mengekalkan Datuk Syafinaz Selamat, Hetty Koes Endang dan Datuk Ramli MS selaku juri.

Acara yang berlangsung selama 12 minggu ini akan dikendalikan oleh pengacara hebat Nabil Ahmad dan Sherry Alhadad.

Gegar Vaganza 12 bakal bersiaran secara langsung di MBSA Shah Alam mulai 2 November 2025, setiap Ahad, jam 9 malam, dan dipancarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria (saluran 104).

GV12 turut boleh disaksikan melalui strim secara On Demand di Astro GO dan sooka.  Langgan Pek Astro One, hanya RM49.99 sebulan.

Strim hiburan tanpa henti untuk seisi keluarga dan tingkatkan pengalaman penstriman anda dengan Astro Fibre 500Mbps beserta Pek Hiburan pada harga RM139.99 sebulan. Layari www.astro.com.my atau WhatsApp ke 03-9543 3838 untuk melanggan atau menaik taraf hari ini.

Must-Watch Video

Advertisement