Sekilas
- Gegar Vaganza 13 bakal menghimpunkan semula bintang Akademi Fantasia dalam satu program khas sempena ulang tahun ke-30 Astro.
- Empat peserta akan diumumkan secara mengejut pada konsert akan datang untuk mengekalkan elemen kejutan dalam GV13.
- Program ini akan bersiaran selama 11 minggu setiap Ahad, 9 malam di Astro Ria dan boleh distrim melalui Astro GO dan Sooka.
Gegar Vaganza 13 atau Gegar Vaganza Fantasia bakal menghimpunkan semula barisan bintang Akademi Fantasia (AF) dalam satu pentas.
Menurut Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad gabungan dua jenama ikonik itu direalisasikan bersempena sambutan ulang tahun ke-30 Astro, sekali gus menjadi peluang untuk mengimbau kembali perjalanan program realiti yang pernah mencetuskan fenomena dalam industri hiburan tempatan.
“Gegar Vaganza Fantasia merupakan program yang menghimpunkan kembali semua bintang AF di dalam satu pentas.
“Kenapa kita buat sekarang? Seperti yang kita sedia maklum, tahun ini merupakan tahun ke-30 Astro. Jadi, selepas tiga dekad kita bersiaran, kita merasakan inilah masa terbaik untuk mengadakan reunion ini.
“AF merupakan satu jenama yang ikonik, manakala Gegar Vaganza pula antara jenama yang paling lama bertahan. Jadi, kita rasakan yang terbaik adalah untuk menggabungkan kedua-dua format ini menjadi satu program,” katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, Raqim turut mendedahkan elemen kejutan bakal menjadi antara tarikan utama GV13.
Jelasnya, empat lagi peserta akan diumumkan pada konsert akan datang selain membuatkan penonton terus tertanya-tanya mengenai barisan peserta yang bakal menyertai musim kali ini.
“Kita semua tahu AF merupakan satu format yang penuh dengan kejutan. Jadi, kita bawa elemen itu apabila dalam sidang media hari ini, kita hanya memperkenalkan sembilan peserta sahaja.
“Baki empat lagi peserta akan kita umumkan pada konsert akan datang. Kenapa kita buat begitu? Sebab kita mahu ada kejutan. Jadi, biarlah ada elemen surprise supaya penonton terus tertanya-tanya siapa yang akan turut serta bersama kita untuk musim ke-13 ini,” ujarnya.
Sekadar info, GV13 bakal menampilkan Vince, Zahid, Mawi, Faizal, Mila, Stacy, Shahir, Faizul dan juga Firman berentap untuk merebut gelaran juara di pentas berprestij ini.
Menambahkan lagi keterujaan musim ini, GV13 akan terus digerakkan oleh trio hos kegemaran ramai iaitu Nabil Ahmad, Jihan Muse dan Sherry Alhadad.
Sementara itu, barisan juri pula masih mengekalkan tiga nama besar yang cukup dihormati dalam industri muzik, iaitu Dato’ Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz Selamat.
Berlangsung selama 11 minggu, ‘GV13’ akan bersiaran setiap Ahad, 9 malam di Astro Ria (saluran 104) dan secara langsung dari Auditorium MBSA Shah Alam.
Program ini turut boleh distrim secara On Demand di aplikasi Astro GO dan Sooka.