Sekilas
- Mawi mengesahkan konsert The Journey Of "MAWI WORLD" pada 8 November 2026 di Megastar Arena tetap diteruskan walaupun beliau menyertai Gegar Vaganza Fantasia (GVF13).
- Konsert tersebut turut menampilkan penyanyi lain seperti Akhil Hayy, Daly Filsuf, Felix Agus, Datuk AC Mizal dan Datuk Aznil Hj Nawawi.
- GVF13 akan bersiaran selama 11 minggu setiap Ahad, jam 9 malam di Astro Ria dan boleh distrim melalui Astro GO dan Sooka dengan barisan hos dan juri yang popular dalam industri muzik.
Bintang Gegar Vaganza Fantasia (GVF), Mawi memberi jaminan konsertnya The Journey Of "MAWI WORLD" yang dirancang sebelum ini tetap akan diteruskan meskipun sudah menyertai pertandingan tersebut.
Menerusi hantaran di Instagram, Mawi atau nama lengkapnya, Asmawi Ani, memaklumkan penyertaannya dalam program berkenaan tidak akan menjejaskan perancangan konsert yang sudah dijadualkan.
“Walaupun saya sertai Gegar Vaganza Fantasia (GVF13) bermula 8 November ini, konsert saya tetap onzz ya di Megastar Arena.
“Jangan risau ya kepada semua yang dah beli tiket. Insya-Allah kita jumpa di konsert,” tulisnya.
Perkongsian tersebut sekali gus memberikan kepastian kepada peminat yang telah mendapatkan tiket untuk menyaksikan persembahannya di Megastar Arena pada 8 November 2026.
Konsert The Journey Of "MAWI WORLD" itu turut menampilkan beberapa penyanyi lain antaranya Akhil Hayy, Daly Filsuf, Felix Agus, Datuk AC Mizal dan Datuk Aznil Hj Nawawi.
Sekadar info, GV13 bakal menampilkan Vince, Zahid, Mawi, Faizal, Mila, Stacy, Shahir, Faizul dan juga Firman berentap untuk merebut gelaran juara di pentas berprestij ini.
Menambahkan lagi keterujaan musim ini, GV13 akan terus digerakkan oleh trio hos kegemaran ramai iaitu Nabil Ahmad, Jihan Muse dan Sherry Alhadad.
Sementara itu, barisan juri pula masih mengekalkan tiga nama besar yang cukup dihormati dalam industri muzik, iaitu Dato’ Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz Selamat.
Berlangsung selama 11 minggu, ‘GV13’ akan bersiaran setiap Ahad, 9 malam di Astro Ria (saluran 104) dan secara langsung dari Auditorium MBSA Shah Alam.
Program ini turut boleh distrim secara On Demand di aplikasi Astro GO dan Sooka.