Sekilas
- Sufie Rashid berkongsi pengalaman mencabar menyanyi lagu ciptaannya sendiri ketika final Akademi Fantasia 2015 walaupun sedang demam panas.
- Perkongsian Sufie menimbulkan spekulasi tentang penyertaannya dalam Gegar Vaganza 13, walaupun belum ada pengesahan rasmi.
- GV13 menampilkan sembilan peserta dan dikendalikan oleh trio pengacara Nabil Ahmad, Jihan Muse, dan Sherry Alhadad, dengan juri tetap Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang, dan Datuk Syafinaz Selamat.
Penyanyi dan juga bekas bintang Akademi Fantasia 2025 (AF2025), Sufie Rashid mengimbas kembali kenangan ketika bertanding di pentas akhir program realiti nyanyian itu.
Menerusi perkongsian di media sosial, Sufie berkongsi pengalaman mencabar apabila perlu menyampaikan lagu sendiri yang disifatkannya terlalu sukar untuk dinyanyikan.
“Since everyone’s talking about Gegar Veganza Fantasia. Saja nak throwback waktu kena nyanyi lagu sendiri yang sampai sekarang tak faham kenapa lah buat lagu yang susah sangat nak nyanyi,” kongsinya.
Malah, Sufie juga mendedahkan ketika menyampaikan lagu ciptaannya yang berjudul Kisah Dua Muka itu, dia sebenarnya mengalami demam panas pada malam konsert akhir AF2015 sehingga bimbang tidak mampu menyempurnakan persembahannya.
“Fun fact: Malam AF2015 final saya demam panas dan takde rasa harapan boleh nyanyi langsung. Segala anak tekak rasa nak terputus,” tulisnya.
Perkongsian itu juga sekaligus membuatkan netizen tertanya-tanya adakah Sufie bakal menjadi antara peserta GV13.
Sufie juga sebelum ini menjadi perhatian netizen selepas berkongsi misi untuk menurunkan berat badan sebanyak 10 kilogram (kg) dalam tempoh dua minggu selepas nama-nama bintang Gegar Vaganza Fantasia diumumkan.
Namun terdapat lagi beberapa nama yang masih belum diumumkan dan antara yang dipetik netizen adalah Sufie.
Bagaimanapun, setakat ini belum ada pengesahan daripada Sufie berhubung spekulasi yang tercetus susulan perkongsian tersebut.
Sekadar info, GV13 bakal menyaksikan persaingan sembilan penyanyi iaitu Vince, Zahid, Mawi, Faizal, Mila, Stacy, Shahir, Faizul dan Firman dalam usaha merebut gelaran juara di pentas berprestij itu.
Menambahkan lagi kemeriahan musim ini, GV13 bakal dikendalikan oleh trio pengacara kegemaran ramai, Nabil Ahmad, Jihan Muse dan Sherry Alhadad.
Sementara itu, barisan juri masih mengekalkan tiga nama besar dalam industri muzik iaitu Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz Selamat.
Berlangsung selama 11 minggu, GV13 bersiaran setiap Ahad, jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104) secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam.
Program itu juga boleh distrim secara On Demand menerusi aplikasi Astro GO dan Sooka.
Sumber: Threads @sufierashid