Dalam penghijrahan atau sesuatu perkara menuju kebaikan, hal yang paling ditakutkan adalah istiqamah. Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, definisi istiqomah adalah ketaatan menjalankan sesuatu suruhan secara terus-terusan termasuk dalam urusan agama.
Namun sebagai manusia yang sentiasa iman diuji, ramai yang terkandas dalam pelayaran istiqomah menuju kebaikan. Antara yang menjadi buah mulut saat ini adalah tindakan segelintir artis membuka tudung dengan alasan tersendiri.
Advertisement
Putri Dahlia
Perlu diakui, sebelum mengambil keputusan membuka tudung, masih belum ramai yang mengenali Putri Dahlia. Namun kini, di internet, nama Putri Dahlia adalah individu yang paling ramai dicari.
Putri Dahlia adalah seorang penyanyi muda berusia 21 tahun. Dia juga merupakan anak kepada penyanyi Dato Nora Ariffin dan Allahyarham Johan Nawawi.
Namanya kini menjadi kontroversi selepas tindakan membuka tudung dan tampil dengan imej baharu di majlis Anugerah Industri Muzik 2025 baru-baru ini.

Lebih menjadi kontroversi selepas gadis yang mengaku memakai tudung sejak usia 6 tahun ini tidak lagi berbuat demikian kerana mahu mencari perjalanan hidup baharu.
Tidak kisah dikecam, kenyataan yang dikeluarkan Putri Dahlia iaitu ‘rasa lebih dekat dengan Allah selepas tidak bertudung’ turut meninggalkan polemik - kebimbangan dalam kalangan ahli agama mengenai kecenderungan meninggalkan suruhan Allah atau kewajiban dan menyebarkannya.
Marshanda
Bintang Indonesia, Marshanda baru-baru ini mendedahkan keputusan dirinya membuka tudung pada tahun 2014 lalu.
Tanpa berselindung, pelakon dan penyanyi yang memiliki penyakit kesihatan mental itu mengatakan membuka tudung kerana rasa resah ingin mengetahui tentang agama.
“Pertama kalinya dalam hidupku aku, apa ya, penasaran soal spiritual, soal agama dan sebagainya. Jadi saya memutuskan untuk buka tudung,” akuinya dalam satu temubual di sebuah akaun YouTube seperti dilaporkan Suara.com.

Natijahnya, dia kehilangan banyak tawaran kerana dilabel sebagai seorang yang penuh kontroversi dan ‘dibenci’ masyarakat kerana tidakan tidak wajarnya itu.
Dalam temu bual sama, Marshanda mengaku sampai tidak memiliki duit untuk hidup kerana tiada peluang berlakon dan menyanyi. Dia pun menyifatkan insiden itu sebagai titik tergelap dalam hidupnya.
Nelydia Senrose
Pelakon cantik Nelydia Senrose memakai tudung buat pertama kali pada tahun 2016 ketika menghadiri majlis penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Pahang kepada suaminya di Istana Abdulaziz, Kuantan.
Namun sejak beberapa bulan terakhir di tahun 2024, Nelydia mula dilihat tidak lagi memakai tudung.
Dan kini, meski menerima banyak cemuhan, wanita itu sepenuhnya tidak lagi bertudung serta kembali aktif berlakon.
Nelydia bagaimanapun mengambil langkah matang dengan tidak menjelaskan keputusannya kembali memperlihatkan aurat rambutnya kepada umum.
Sebaliknya, dengan penuh pengharapan, pelakon berusia 31 tahun ini meminta khalayak mendoakan dirinya kembali terbuka hati bertudung dan menutup aurat semula pada masa akan datang.