Skip to main content

Hiburan

GempakWrapped2025: Mahligai Cinta & Cahaya Mata! Erra Fazira, Fattah Amin & Sabronzo Antara Selebriti Kecap Bahagia Tahun Ini

GempakWrapped2025

Sekilas

  • Tahun 2025 menyaksikan ramai selebriti popular Malaysia mengikat tali pertunangan dan berkahwin dalam majlis yang penuh bermakna dan intim.
  • Antara pasangan terkenal yang melangsungkan perkahwinan termasuk Wanna Ali & Khairul Amri, Syafiq Kyle & Mimi Lana, serta Erra Fazira & Mr. E.
  • Selain perkahwinan, beberapa selebriti juga dikurniakan cahaya mata, menandakan tahun yang penuh kebahagiaan dalam industri hiburan tempatan.

Beberapa hari sahaja lagi, tahun 2025 bakal melabuhkan tirai dan sepanjang tahun ini, berlaku pelbagai perkara yang telah mewarnai industri hiburan.

Dari berita mengejutkan hingga majlis yang dinanti-nantikan, tahun 2025 menjadi saksi kepada detik indah apabila ramai selebriti popular memilih untuk menyatukan cinta mereka hingga ke jenjang pelamin.

Beberapa kisah pasangan yang 'tiba-tiba' berkahwin juga menjadi bualan ramai.

Jom imbas semula pasangan selebriti yang memilih jalan bahagia sepanjang tahun ini.

1. Wanna Ali & Khairul Amri Tan Sri Dato’ Sri Khalid

Pelakon Wanna Ali sah bergelar isteri kepada jejaka pilihan, Khairul Amri Tan Sri Dato’ Sri Khalid dalam satu majlis di Petaling Jaya pada 9 Februari lalu.

Wanna yang selamat dinikah dengan berwalikan bapanya, Mohd Ali menerima mas kahwin berupa 10 dinar emas dan sebentuk cincin.

Perkahwinan mereka itu diadakan selepas kira-kira tiga bulan Wanna mengikat tali pertunangan dengan Khairul.

2. Fikry Ibrahim & Khalizah Alihan

Pelakon, pelawak dan pengacara, Fikry Ibrahim selamat menjadi suami kepada wanita pilihannya iaitu Khalizah Alihan pada 12 Februari 2024.

Majlis pernikahan yang diadakan secara tertutup itu berlangsung di kampung halaman Fikry yang terletak di Jitra, Kedah.

Perkahwinan mereka menjadi bualan selepas tular satu foto memaparkan momen manis mereka selepas selesai pernikahan di sebuah masjid.

3. Syafiq Kyle & Mimi Lana

Selepas sekian lama menjalin cinta, Syafiq Kyle dan Mimi Lana akhirnya sah menjadi pasangan suami isteri pada 14 Februari yang lalu.

Syafiq dan Mimi memilih untuk mengadakan majlis pernikahan secara ‘intimate’ di kediaman pengantin perempuan yang terletak di Taiping, Perak. Mereka kemudiannya mengadakan majlis persandingan yang turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran rakan artis.

Lebih nostalgia, Syafiq dan Mimi telah menetapkan syarat kepada tetamu yang hadir agar tidak bermain telefon sepanjang majlis itu berlangsung. 

4. Atiq Azman & Alia Natasha

Tanggal 21 Februari telah dipilih pelakon, Atiq Azman untuk menamatkan zaman bujangnya bersama pempengaruh yang dikenali sebagai Alia Natasha.

Berkongsi mengenai bibit perkenalan, pasangan ini dikatakan mula mengenal hati budi masing-masing melalui media sosial.

Perhubungan mereka bermula dengan kiriman mesej di Instagram akhirnya membawa kepada ikatan yang lebih rapat sehingga ke jenjang pelamin.  

5. Aisyah Aziz & Dr. Mohd Fakhrudin

Penyanyi, Aisyah Aziz selamat bernikah dengan jejaka pilihannya, Dr Mohd Fakhrudin Amir Mohd Ismail di Singapura.

Memilih tanggal 11 April sebagai tarikh keramat, majlis pernikahan mereka hanya diadakan secara tertutup di Singapura.

Mereka kemudiannya melangsungkan majlis resepsi dengan nuansa Islamik yang turut dihadiri oleh keluarga serta kenalan rapat, termasuk biras kepada Aisyah iaitu Neelofa dan suaminya PU Riz, serta abangnya Aliff Aziz. 

6. Erissa Puteria & Danial Iskandar

Pelakon dan penyanyi Erissa Puteri selamat bergelar isteri kepada jejaka pilihannya, Danial Iskandar pada jam 11 pagi tanggal 18 April lalu.

Pasangan sama cantik sama padan itu dinikahkan oleh jurunikah, Dr Adam dalam sebuah majlis bertemakan serba putih di The Majestic Hotel, Kuala Lumpur.

Pada majlis penuh istimewa itu, Erissa Puteri menerima mas kahwin 70 gram emas tunai. 

7. Sufian Suhaimi & Rania Al Sadat

Penyanyi, Sufian Suhaimi selamat melangsungkan pernikahannya dengan wanita pilihan iaitu Rania Al Sadat pada 2 Mei 2025.

Dalam majlis pernikahan yang diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur itu, Sufian menyerahkan mas kahwin berupa satu dinar emas bersama tiga dulang hantaran berbalas lima, termasuk sebentuk cincin dan gelang kepada pengantin perempuan.

Sempena tarikh bahagia ini, pelantun lagu Terakhir itu turut mempersembahkan sebuah karya istimewa buat para peminatnya menerusi lagu berjudul Saksi.

Menurut Sufian, lagu ini membawa naratif kisah cinta mereka dengan Rania turut membuat penampilan khas dalam muzik video sebagai simbolik kepada perjalanan cinta mereka.

8. Eyka Farhana & Akhyar Rashid

Selepas lima tahun menyulam cinta, pelakon jelita, Eyka Farhana akhirnya sah bergelar isteri kepada pemain sayap Terengganu FC (TFC), Akhyar Rashid pada 2 Mei lalu.
 
Majlis pernikahan yang diadakan di Boathouse by The Lake, Ampang, Kuala Lumpur itu disaksikan oleh ahli keluarga terdekat serta kenalan rapat.

Pada majlis berkenaan, Eyka atau nama penuhnya Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi menerima mas kahwin berjumlah RM3,200 daripada Akhyar.
 
Kisah percintaan Eyka bersama Akhyar mula dihidu sejak 2020 selepas mereka beberapa kali dilihat keluar ‘dating’ dan bercuti bersama.
 
9. Luna Maya & Maxime Bouttier

Dengan sekali lafaz, Luna Maya akhirnya bergelar isteri kepada Maxime Bouttier pada pukul 5 petang waktu tempatan. Pasangan selebriti itu melangsungkan perkahwinan dalam acara tertutup di Ubud, Bali, Indonesia.

Luna, 41, menerima emas seberat 7.5 gram dan wang hantaran sebanyak RM8,600 daripada suami.

10. Jaclyn Victor & Calvin T Samuel

Penyanyi popular Jaclyn Victor selamat bergelar isteri kepada pensyarah, Calvin T Samuel pada 25 Mei lalu.

Perkahwinan itu mula tular selepas beberapa rakan selebriti dilihat berkongsi momen indah yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur itu.

Untuk rekod, ini merupakan perkahwinan kali kedua buat Jaclyn Victor selepas bercerai dengan bekas suami pada 2019 yang lalu.

Jaclyn juga mempunyai dua orang cahaya mata iaitu, Jonah Joshiah Rivera, 10, dan Molly Marguerite Rivera, 8, hasil perkahwinan terdahulu.

11.Qi Razali & Wardah

Pelakon dan pengacara, Qi Razali sah bergelar suami kepada pilihan hatinya yang dikenali sebagai Wardah pada 25 Mei lalu.

Majlis pernikahan pelakon filem Babah itu diadakan secara tertutup di sebuah lokasi yang berlatar belakangkan suasana kampung serta mencetuskan suasana tenang dan indah buat mereka.

12.Shasha Abedul & Adam

Selepas memaklumkan sudah mengikat tali pertunangan pada 12 Januari lalu, akhirnya identiti jejaka pilihan pelakon, Shasha Abedul terjawab selepas mereka selamat bergelar suami isteri pada 12 Julai lalu.

Shasha sah menjadi isteri kepada lelaki yang dikenali sebagai Adam dengan hanya sekali lafaz dalam satu majlis yang diadakan secara tertutup di Masjid Tengku Kelana Jaya, Petaling Jaya. 

13. Fattah Amin & Amira Othman

Dari rakan sekerja ke rakan serumah, pelakon, Fattah Amin dan penyanyi, Amira Othman sah bergelar suami isteri pada 14 September lalu.

Lebih manis, pasangan itu dinikahkan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dengan disaksikan bapa pengantin perempuan.

Ketika majlis berlangsung, penganting lelakimenerima lima dulang hantaran berbalas tujuh daripada pihak pengantin perempuan sementara Amira menerima mas kahwin seutas gelang tangan emas.

Pasangan ini kemudiannya mengadakan beberapa resepsi bagi meraikan perkahwinan mereka bersama keluarga, sahabat, pengamal media dan juga peminat.

14. Sabronzo & Ryan Fie’ret

Perkahwinan ahli kumpulan Dolla, Sabronzo merupakan perkahwinan yang paling tidak diduga rata-rata peminat.

Sabronzo mengejutkan dunia hiburan selepas tularnya gambar majlis resepsinya bersama Ryan yang hanya dihadiri ahli keluarga terdekat dan rakan rapat di sebuah pulau terletak di Bali.

Sabronzo yang ditemui media beberapa minggu selepas itu menjelaskan bahawa pemilihan Bali sebagi tempat resepsi adalah kerana mereka sangat menyukai suasana pulau itu yang begitu privasi.

Terdahulu, Sabronzo pernah didakwa menjalin hubungan seorang DJ antarabangsa namun, pelantun lagu Question itu memilih untuk tidak menafikan atau mengiyakan mengenai dakwaan berkenaan.

15. Tun Laila & Amir Haiqal

Peguam dan pempengaruh, Tun Laila selamat bergelar isteri kepada Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amir Haiqal dengan sekali lafaz di Masjid Subang Bestari pada tanggal 8 November lalu.

Majlis pernikahan itu disempurnakan sendiri oleh bapa pengantin perempuan yang dihadiri oleh ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat.

Pada majlis tersebut, Tun Laila menerima mas kahwin sebanyak RM13,800 simbolik kepada tarikh lahirnya manakala hantaran tujuh berbalas lima.

16. Fauziah Sarman & Brigedier General Tuan Zainal Abidin

Selepas dua tahun bergelar ibu tunggal, ibu kepada penyanyi Shila Amzah iaitu Fauziah Sarman selamat mendirikan rumah tangga bersama jejaka pilihan, Brigedier General Tuan Zainal Abidin Muhammad Saleh dalam satu majlis tertutup pada 22 November lalu.

Perjelas Fauziah, mereka mula berkenalan pada Jun lalu hasil pertolongan pelakon, Serina Redzuawan.

Selepas sebulan berkenalan, Tuan Zainal memberanikan diri untuk melamar Fauziah yang mesra disapa Mama Zie untuk bernikah.

Sementara itu, Shila memaklumkan dia sangat gembira dengan perkahwinan ini dan beranggapan ibunya juga berhak mengecap bahagia.

Sekadar info, ini merupakan perkahwinan kali kedua Fauziah selepas bercerai dengan penyanyi, ND Lala pada 2023 lalu.

17. Sissy Iman & Dr. Zamir Hilman

Penyanyi, Sissy Imann selamat diijabkabulkan dengan pilihan hatinya, Dr. Zamir Hilman Dr. Hamzah pada 12 Disember lalu.

Dalam suasana penuh khusyuk dan mengharukan, Sissy telah dinikahkan sendiri oleh bapanya, Encik Mohammad Kamil bin Mustaffa sambil disaksikan ahli keluarga terdekat serta rakan-rakan rapat pasangan mempelai.

Sebagai mas kahwin, Sissy menerima seutas gelang emas bernilai RM6,840.

Pertukaran hantaran turut disempurnakan mengikut adat, dengan tiga dulang daripada pihak Sissy dibalas lima dulang daripada pihak lelaki.

Antara hantaran yang paling mencuri perhatian ialah nombor plat khas kereta SIS5795’, gabungan simbolik nama Sissy serta tahun kelahirannya, 1995. 

Sissy turut menerima tiga bentuk cincin berlian sebagai tanda pengikat pertunangan.

18. Erra Fazira & Mr. E

Tanggal 12 Disember dipilih sebagai tarikh keramat bagi perkahwinan primadona filem alaf baharu Malaysia, Erra Fazira bersama jejaka pilihannya, Ezwan Zain atau lebih mesra disapa Mr. E.

Perkahwinan ini disebut-sebut sebagai ‘Wedding of the year’ selepas bintan filem Sembilu dan hos Borak SeeNi itu menerima sepokok bunga emas seberat 102 gram sebagai mas kahwin.

Erra juga menerima sebentuk cincin jenama Cartier bernilai RM80,000 pada sesi pembatalan air sembahyang dengan hantaran termasuk sepersalinan emas yang disatukan dalam satu talam yang ditandu.

Untuk rekod, ini merupakan perkahwinan ketiga buat Erra Fazira.

19. Siti Saleha & Joshua Fitton

Pelakon, Siti Saleha selamat bergelar isteri kepada pasangannya yang juga pereka fesyen, Joshua Fitton pada tanggal 15 Februari 2025.

Saleha atau nama sebenarnya, Siti Saleha Mohd Baharum dinikahkan oleh bapanya, Mohd Baharum Abd Rahman dan majlis tersebut berlangsung dengan pihak lelaki menyerahkan lima dulang dan dibalas tujuh oleh pihak perempuan.

Untuk rekod, ini merupakan perkahwinan kali kedua Siti Saleha selepas perceraiannya dengan bekas suami pada 2022 lalu.

Selang 6 bulan selepas mendirikan rumah tangga, Siti Saleha mengumumkan  berita gembira yang mengenai dirinya kini yang sedang hamil. Tahniah diucapkan!

Sementara itu, tahun 2025 ini juga merupakan tahun bermakna buat beberapa selebriti apabila mereka dikurniakan cahaya mata.

Jom imbas semula pasangan selebriti yang memilih jalan bahagia sepanjang tahun ini.

1. Rizky Febian & Mahalini

Pasangan penyanyi popular Indonesia, Rizky Febian dan Mahalini selamat menimang cahaya mata pertama mereka pada 16 Februari lalu.

Mendirikan rumah tangga pada Mei tahun lalu, Rizky dan Mahalini berkongsi bahawa mereka telah memilih Zairee Selina Quinlyn Kareema Febian sebagai nama bagi cahaya mata pertama mereka itu.

2. Afifah Nasir & Syed Hariz

Pelakon, Afifah Nasir berkongsi khabar gembira apabila selamat melahirkan bayi lelaki pada 22 September lalu.

Menerusi perkongsian di Instagram (IG), Afifah meluahkan rasa syukur kerana proses bersalinnya berjalan dengan lancar.

Afifah yang turut memuat naik foto foto suaminya yang sedang mencium dahi dan wajah anak memilih untuk menamakan anak mereka sebagai Syed Armand Mateen.

3. Najwa Latif & Akwa

Penyanyi dan pensyarah muda, Najwa Latif, selamat melahirkan cahaya mata pertama pada 11 November lalu.

Tarikh itu merupakan tarikh yang cukup bermakna buat mereka kerana ia merupakan ulang tahun perkahwinan ketiga mereka.

4. Noh Salleh & Fatin Athira

Penyanyi Noh Salleh berkongsi berita gembira apabila isterinya, Fatin Athira Mustapa telah selamat melahirkan bayi perempuan pada 21 November lalu.

Bayi perempuan mereka diberi nama Tara Svara, sekali gus menandakan permulaan fasa baharu buat pasangan ini sebagai ibu dan bapa.

Sementara itu, Noh meluahkan rasa syukur kerana proses kelahiran anak mereka berjalan lancar dan disambut dengan doa, pelukan serta sorakan ahli keluarga dan sahabat yang dekat.

Selain mereka, antara artis yang menimang cahaya mata pada tahun 2025 termasuklah Jihan Muse, Fizo Omar dan isteri yang menimang cahaya mata ketiga serta Ayie Floor 88 dan isteri yang menimang cahaya mata kedua.

Tahniah diucapkan buat selebriti yang mendirikan rumah tangga serta selebriti yang menimang cahaya mata pada tahun ini.

Semoga perkahwinan kesemua selebriti berkekalan hingga ke akhir hayat dan semoga anak-anak mereka dapat membesar dengan sihat.

Must-Watch Video

Advertisement