Astro Originals tampil dengan sebuah karya terbaharu berjudul Generasi: Perfect 10 yang mengangkat kisah gadis remaja mengejar impian untuk bergelar atlet gimnastik profesional.
Advertisement
Drama lapan episod itu akan mula ditayangkan bermula 19 September ini, setiap Jumaat pukul 12 tengah malam di On Demand serta jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104) dan Astro Citra (saluran 108).
Siri tersebut mengisahkan watak utama Ezie, lakonan Arena Wan, yang sejak kecil meminati sukan gimnastik. Namun, perjalanan hidupnya berubah selepas kelab gimnastik sekolah ditutup sebelum dia nekad menyertai sebuah akademi sukan berprestij.
Selain Arena, drama arahan Sling Ng itu turut dibintangi Arabella Ellen, Sofia Jane, Ellyza Azizi, Daniel Fong, Sharifah Sakinah, Qi Razali dan Sherie Merlis. Legenda gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi juga membuat penampilan khas selain bertindak sebagai penasihat siri tersebut.
Penerbit Eksekutif Generasi: Perfect 10 yang juga Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, karya itu bukan sekadar menonjolkan dunia gimnastik tetapi turut menyentuh isu sosial yang dekat dengan remaja.
“Kami mahu mengetengahkan naratif tentang keberanian, identiti diri dan ketabahan gadis remaja dalam mengejar cita-cita. Astro Shaw juga ingin mengangkat semangat atlet Malaysia serta komuniti di sekeliling mereka,” katanya.
Generasi: Perfect 10 turut menandakan kolaborasi bersama jenama susu Goodday Charge dalam usaha promosi bersama.
Penonton boleh menyaksikan drama ini secara eksklusif di Astro Ria, Astro Citra, Astro GO dan aplikasi sooka.