Sosok Datuk Aznil Haji Nawawi memang sangat terkenal dengan penjenamaan program realiti popular Akademi Fantasia (AF).
Menjadi tunggak yang menghidupkan naratif program terbitan Astro itu sebagai hos, Aznil atau mesra disapa Pak Nil mengemudi AF dalam beberapa musim.
Advertisement
Pengacara berkaliber itu memandu AF pada musim pertama sehingga ke lima sebelum kembali bersama pelajar-pelajar baharu di musim ke-sembilan pada 2011. Beliau sekali lagi diberi tanggungjawab mengemudi AF Megastar pada tahun 2017.
Mempunyai hubungan yang akrab serta menyifatkan graduan AF sebagai ‘anak-anaknya’, Pak Nil menganjurkan sebuah majlis atas inisiatif sendiri dan disokong oleh Asam Pedas London Bandar Baru Selayang yang dipanggil AF Homecoming.
Majlis yang berlangsung di CIDB pada hujung minggu lalu itu adalah keraian bersempena sambutan ulang tahun beliau yang ke-63.

Pak Nil malah sempat panik apabila graduan AF merancang gimik secara spontan yang membuat majlis menjadi kecoh.
Atie tiba-tiba pengsan sehingga membuat Pak Nil menelefon ambulans sebelum pulut kuning dibawa keluar oleh rakan lain untuk merayakan ulang tahun figura kesayangan mereka itu.
Bercakap mengenai majlis yang dipenuhi bintang AF seperti juara AF 1, Vince, Adam, Mila, Hafiz Shuib, Khai dan Rosma, Nija, Ayda Jebat, Hazama, Farhan, Haziq, Didi, Idayu, Dafi, Fuad, Afif, Zizi Kirana, Adi Faslah, Lufya dan ramai lagi itu, Pak Nil memberitahu hanya melayangkan jemputan terbuka secara atas talian.
Tanpa diduga, jemputan terbuka yang dibuat bukan hanya kepada graduan AF sebaliknya kepada semua kru yang terlibat dalam program tersebut disantuni meriah.
“AF Homecoming ini saya buat sempena sambutan ulang tahun ke-63. Tanggal ulang tahun saya pada 6 November ini tapi saya lakukan majlis ini awal untuk mengumpulkan semua yang terlibat dengan AF,” ujar Pak Nil kepada Gempak.
Menyambung bicara, kata Pak Nil: “Sebenarnya saya agak terkejut dengan sambutan AF Homecoming kerana saya hanya ada dalam kumpulan WhatsApp AF 1 kemudian minta mereka panjangkan kepada rakan AF yang lain melalui jemputan terbuka.

“Tidak disangka hari ini ramai graduan AF yang hadir bukan hanya daripada musim yang saya acarakan tapi juga daripada musim-musim lain.
“Malah ada yang sanggup datang dari Pulau Pinang dan Johor Bahru, terima kasih saya ucapkan.”
Ditanya mengapa memilih meraikan ulang tahun ke-63 bersama graduan AF, Pak Nil menjawab ringkas.
“Kerana graduan AF sudah macam anak-anak saya. Mereka legasi saya,” katanya pendek.
Pada majlis sama, Pak Nil bukan hanya berharap silaturahim mereka berpanjangan tetapi sempat menyampaikan pesanan yang menyentuh hati.
“Saya harap AF Homecoming dapat merapatkan hubungan kita semua. Kasih sayang saya datang daripada pelbagai orang.
“Jadi kalau ada yang sakit tolong ceritakan. Kalau ada yang susah tolong juga ceritakan.
“Kita ada kita,” pesannya.