Sekilas
- Pelakon Meerqeen dedikasikan kemenangan drama Thariq Ridzuwan: His Treasure di Gempak Most Wanted 2025 kepada penulis asal novel, Huda Najwa.
- Meerqeen tekankan kejayaan bukan hanya milik pelakon dan produksi, tetapi juga hasil imaginasi dan penulisan jujur Huda Najwa yang hidupkan watak-watak drama.
- Thariq Ridzuwan His Treasure dinobatkan sebagai Drama Paling Tergempak 2025, manakala Meerqeen menang kategori Selebriti Tergempak dan anugerah utama Gempak Most Wanted 2025.
Pelakon Meerqeen mendedikasikan Kemenangan drama Thariq Ridzuwan: His Treasure di Gempak Most Wanted 2025 (GWMA2025) kepada penulis asal novel, Huda Najwa.
Menurut Meerqeen, kejayaan tersebut bukan hanya milik barisan pelakon dan produksi di hadapan kamera, sebaliknya hasil kekuatan karya serta imaginasi penulis yang menjadi tunjang kepada keseluruhan penceritaan.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan buat Huda Najwa, penulis di sebalik dunia Thariq Ridzuwan His Treasure.
“Tanpa imaginasi, keberanian dan jiwa yang beliau curahkan dalam setiap helaian cerita, tidak akan lahirnya Thariq dan Husniya yang begitu dekat di hati ramai,” kongsinya.
Tambahnya lagi, watak-watak yang dibawakan bukan sekadar karakter biasa, sebaliknya sarat dengan emosi yang hidup hasil penulisan yang jujur dan penuh perasaan.
“Watak-watak ini bukan sekadar karakter, tetapi emosi yang hidup kerana penulisan yang jujur dan penuh rasa.
“Kemenangan anugerah ini bukan hanya milik kami di hadapan kamera, tetapi juga milik beliau yang membina asas cerita dengan begitu indah.
“Terima kasih kerana mempercayakan kami untuk menghidupkan karya yang begitu bermakna,” ujarnya lagi.
Untuk info, Thariq Ridzuwan His Treasure dinobatkan sebagai Drama Paling Tergempak 2025 di GMWA 2025 yang berlangsung baru-baru ini.
Selain itu, Meerqeen juga memenangi kategori Selebriti Tergempak 2025 dan anugerah utama iaitu Gempak Most Wanted 2025.