Sekilas
- Malam kemuncak Gempak Most Wanted Awards 2025 menyaksikan Meerqeen dinobatkan sebagai penerima anugerah utama Gempak Most Wanted 2025.
Segmen khas bersama Persatuan Rumah Kebajikan Ronald McDonald (RMHC Malaysia) menyampaikan mesej kemanusiaan dengan sumbangan kit Ramadan kepada penghuni RMHC di beberapa hospital.
Malam kemuncak Gempak Most Wanted Awards 2025 (GMWA2025) telah pun melabuhkan tirainya dengan menyaksikan pelakon, Meerqeen dinobatkan sebagai penerima anugerah Gempak Most Wanted 2025.
Acara penuh gemilang itu bukan sahaja menyaksikan kemenangan selebriti dan figura digital pilihan ramai malah turut dihiasi dengan satu segmen istimewa dibawakan oleh GMWA2025 untuk Persatuan Rumah Kebajikan Ronald McDonald (RMHC Malaysia) yang cukup menyentuh perasaan.
Di sebalik sorakan peminat ketika GMWA2025 berlangsung, segmen RMHC berjaya menyampaikan mesej yang begitu mendalam.
Segmen dimulakan dengan tayangan video memaparkan beberapa selebriti dan pempengaruh berusaha untuk mencantikkan RMHC bagi menceriakan keluarga dan juga anak-anak yang menginap di kediaman tersebut.


Tidak hanya itu, RMHC Malaysia dengan kerjasama Astro Gempak Most Wanted juga telah menyampaikan sumbangan kit Ramadan kepada para penghuni RMHC di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Cheras dan RMHC Hospital Tunku Azizah.
Kit Ramadan RMHC ini juga akan diagihkan kesemua Rumah Ronald McDonald di seluruh Malaysia termasuk Sabah.
Dalam pada itu, selebriti dan pempengaruh yang terlibat juga turut menyatakan sokongan terhadap usaha murni RMHC Malaysia.
Antaranya Syazwan Razak, Yazmin Aziz, Khalish, SpacedollahFarihin Arnia, Adam Bakery, Wan Chai, Kecik, Ming Chun dan Zuly Ali.

Walaupun GMWA2025 sinonim dengan meraikan personaliti paling ‘trending’ dan menjadi pilihan peminat, penyertaan RMHC memberi dimensi berbeza kepada acara tersebut tahun ini.
Segmen berkenaan menunjukkan bahawa di sebalik dunia glamor, masih ada ruang untuk empati dan tanggungjawab sosial.
Ia juga membuktikan bahawa platform hiburan mampu menjadi medium efektif untuk menyampaikan mesej kemanusiaan.
GMWA2025 bukan sahaja meninggalkan kenangan manis buat para pemenang, tetapi turut menyemai kesedaran bahawa setiap individu, tidak kira selebriti mahupun peminat, boleh memainkan peranan dalam membawa harapan kepada mereka yang memerlukan.
Untuk info, RMHC berfungsi sebagai rumah kedua bagi keluarga pesakit pediatrik untuk menginap sambil keluar dari suasana hospital bagi mendapatkan ketenangan serta kekuatan ketika menemani anak-anak mereka mendapatkan rawatan dihospital.
Melalui inisiatif ini, RMHC memastikan setiap keluarga mempunyai ruang penginapan yang selamat dan selesa di dalam kawasan hospital agar mereka dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada anak-anak tanpa dibebani dengan masalah kos berulang-alik dari rumah ke hospital ataupun kos mendapatkan tempat tinggal berhampiran.