Sekilas
- Pelakon Jihaa Sham tidak kisah jika ada yang tidak percaya pengalaman seram yang dikongsikannya dalam podcast Sembang Seram bersama Safwan Nazri.
- Jihaa sudah biasa dengan reaksi skeptikal kerana pengalaman tersebut dialaminya sejak kecil dan menganggapnya sebagai ujian hidup.
- Podcast Sembang Seram yang dikendalikan Jihaa dan Safwan Nazri memenangi anugerah Program Digital Tergempak 2025 di Gempak Most Wanted Awards 2025.
Pelakon, Jihaa Sham mengakui tidak kisah sekiranya ada pihak yang tidak mempercayai pengalaman atau kisah seram dikongsikannya menerusi podcast Sembang Seram yang dikendalikan pempengaruh, Safwan Nazri.
Menurut Jihaa, dia sudah lali berdepan dengan reaksi skeptikal kerana telah melalui pengalaman tersebut sejak kecil.
“Kalau ada komen komen yang kata tidak percaya tu, saya dah biasa sebab saya sudah melalui perkara itu sejak kecil.
“Jadi saya tidak kisah pun kalau orang tak percaya sebab saya faham sahaja kerana mereka tidak melalui perkara (situasi) itu,” ujarnya.
Jihaa berkata demikian ketika ditemui pada acara Gempak Most Wanted Awards 2025 (GMWA) yang berlangsung di Auditorium Dewan Bandaraya Shah Alam (MBSA), pada Ahad.
Tambahnya lagi, pengalaman yang dilalui itu adakalanya sukar untuk diterima akal orang lain.
Bagaimanapun kata Jihaa, dia menganggap pengalaman seram yang dilaluinya itu sebagai ujian dalam hidupnya.
“Benda yang saya lalui ini adakalanya memang orang susah nak percaya, kita tak dapat bayangkan pun bagaimana kehidupannya.
“Semua ini saya rasa ujian untuk saya, tak lebih tak kurang, saya tak ada rasa tak suka atau apa. Siapa yang percaya okay, siapa yang tak percaya pun tak apa,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Program Digital Sembang Seram - Jihaa Sham (Safwan Nazri Podcast) dinobatkan sebagai pemenang anugerah Program Digital Tergempak 2025 di malam kemuncak Gempak Most Wanted Award 2025.