Sekilas
- Danny Haziq terkejut dan bangga apabila tercalon dalam kategori Digital Creator (Beauty & Fashion) di Gempak Most Wanted Awards 2025 walaupun baru setahun buat konten fesyen.
- Dia tidak meletakkan sasaran menang kerana menganggap pencalonan itu sendiri sudah satu kemenangan besar dalam kariernya sebagai pempengaruh.
- Untuk malam kemuncak GMWA, Danny akan tampil dengan elemen Jawa dalam gaya fesyennya dan bakal bersaing dengan sembilan calon lain dalam kategori tersebut.
Pempengaruh media sosial, Danny Haziq menganggap pencalonannya bagi kategori Digital Creator (Beauty & Fashion) di Gempak Most Wanted Awards 2025 (GMWA) sebagai satu pencapaian yang cukup membanggakan dirinya.
Ujar Danny, dia mengakui berasa terkejut apabila menerima berita mengenai pencalonan tersebut.
“Bila dapat berita mengenai pencalonan itu, saya memang tak sangka sebab saya baru sahaja buat konten tenang fesyen kira-kira setahun.
“Tak pernah target pun sebab saya jangkakan lama dan panjang lagi perjalanan. Tapi bila tercalon saya anggap ia adalah rezeki dan ujian yang perlu saya tempuhi.
Bercerita lanjut, Danny berkata dia tidak meletakkan sebarang sasaran untuk memenangi kategori tersebut kerana merasakan peluang tercalon sebaris dengan sembilan lagi calon lain merupakan satu perkara yang bermakna buatnya sepanjang bergelar pempengaruh.
“Pada saya, tercalon bagi kategori ini pun dah menjadi satu kemenangan dah buat saya.
“Menang atau kalah itu perkara nombor dua,” katanya kepada Gempak.
Berkongsi mengenai persiapan, Danny memaklumkan bahawa dia akan menyelitkan elemen Jawa dalam pemakaiannya pada malam kemuncak GMWA, Ahad ini.
“Saya dah ada baju untuk malam GMWA nanti. Saya akan selitkan elemen jawa sebagai ‘outfit’ saya.
“Saya tak sabar nak hadir dan tunjuk pakaian saya nanti. Tambahan pula saya tercalon bagi kategori fesyen jadi saya perlulah tunjukkan penggayaan yang menarik pada malam anugerah nanti,” kongsinya.
Bagi kategori Digital Creator (Beauty & Fashion), Danny bakal bersaing dengan sembilan lagi calon yang lain seperti Afina Balqis, Amirul Danial, Ashrffanuar, Athina Kamarudin dan ramai lagi.
Senarai Top 10 GMWA2025 diumumkan secara rasmi pada 14 Januari 2026 dan fasa undian akan dibuka kepada orang ramai bermula 15 Januari hingga 15 Februari 2026.
Lebih menarik, GMWA kali ini juga membawa format baharu iaitu 50 peratus undian peminat dan 50 peratus lagi undian daripada juri profesional.
Edisi kali ini juga tiada lagi dua fasa undian seperti edisi terdahulu sebaliknya calon-calon Top 10 akan terus bertanding sehingga ke Malam Kemuncak GMWA2025.
Sebanyak 50 kredit undian diberikan bagi setiap kategori sehari.
Jangan lupa layari www.gempakmostwantedawards.com untuk mengundi calon kegemaran anda.