Skip to main content

Hiburan

Guna Duit Pencen Teruskan Konsert, Nourul Nafi Bekas Penganjur Scammer: “Sudah Banyak Kali Kena Tipu…”

Nourul Deep

Sekilas

  • Penyanyi Nourul terpaksa meneruskan konsert sulungnya For You Nourul secara solo selepas penganjur asal menarik diri kerana masalah dalaman.
  • Konsert yang dijadualkan pada 17 April 2026 ditunda ke 30 Mei 2026 dan kini diuruskan oleh syarikat baru ND Entertainment yang ditubuhkan oleh Nourul sendiri.
  • Tiket konsert dijual dalam beberapa kategori dengan harga bermula RM198 hingga RM6,000 dan boleh dibeli melalui Ticket2u.com.

Mengikut rencana awal, penyanyi Nourul akan mengadakan konsert sulungnya pada 17 April 2026. Namun separuh jalan dan dalam keghairahan merangka serta mempersiapkan pesta istimewa dengan judul For You Nourul, takdir berkata lain.

Penganjur yang sepatutnya menjadi tunggak utama konsert ini menarik diri dan kepahitan tersebut harus ditelan Nourul sebelum mendapat semangat baharu untuk meneruskan projek perdana itu 100 peratus di atas pundaknya sendiri.

“Selepas beberapa perbincangan, saya harus menerima pengunduran penganjur. Mereka mengundurkan diri dengan cara baik kerana masalah dalaman. Kami tidak bergaduh malah sehingga ke hari ini masih berhubung.

“Saya akui sepanjang karier sudah banyak kali kena tipu. Tapi penganjur konsert ini bukan scammer. Saya sepatutnya juga berterima kasih kerana selepas tidak lagi bekerjasama secara rasmi, semua urusan seperti pembelian tiket diserahkan kepada saya tanpa perlu bermula semula dari awal,” ujar Nourul.

Nourul yang ditemui pada majlis berbuka puasa di Restoran Siang, Sogo, juga memberitahu: “Kini saya mengambil dan belajar melakukan penganjuran konsert di bawah syarikat yang baru saya tubuhkan hanya untuk memastikan konsert ini menjadi realiti, ND Entertainment bersama rakan-rakan yang berpengalaman dan baik hati membantu saya.”

Menurut penyanyi yang kini menetap di Bali, Indonesia, dia bersemangat meneruskan For You Nourul yang dianjak pada tarikh baharu iaitu 30 Mei 2026 kerana peminat selain enggan berada pada takuk lama.

“Jika saya tidak bangkit, saya tidak akan belajar. Suami juga banyak beri dorongan, dia kata ‘buatlah, teruskan. Kita guna duit pencen kita’. Jadi saya fikir balik, baiklah, saya teruskan kerana saya mahu peminat melihat Nourul yang telah melalui banyak fasa sejak tahun 90-an sehingga kini sudah jauh lebih matang dan menunaikan permintaan peminat dengan lagu-lagu kegemaran mereka,” katanya lagi.

Ditanya berapa banyak wang dihabiskan untuk mewujudkan mimpi For You Nourul, penyanyi Kerana Terluka ini menjawab ringkas: “Enam angka. Saya rasa semua penganjuran pun sama, capai enam angka.”

For You Nourul yang dijadual berlangsung di Zepp, Kuala Lumpur, 30 Mei 2026 juga mendapat beberapa tajaan dan terbuka menerima tajaan untuk berkolaborasi.

Tiket dengan kategori RM198 (Sehati Sejiwa), RM298 (Cinta Azali), RM328 (Keliru), RM388 (Kerana Terluka), RM6,000 (VIP Box) boleh dibeli melalui Ticket2u.com.

Anda mungkin berminat dengan

BUKIPET Mafaza Raya Dress Series

BUKIPET Mafaza Raya Dress Series

TIARA Premium Embroidery Baggy Kurung

TIARA Premium Embroidery Baggy Kurung

LINEA BAJU KURUNG KEDAH JALUR STRIPE COTTON LINEN

LINEA BAJU KURUNG KEDAH JALUR STRIPE COTTON LINEN

YAN@YAN Sulam Floral Baju Kurung with Pario Skirt

YAN@YAN Sulam Floral Baju Kurung with Pario Skirt

YAN@YAN Kurung Moden Sulam Lembut – Ayu & Sopan Bergaya-8319

YAN@YAN Kurung Moden Sulam Lembut – Ayu & Sopan Bergaya-8319

Must-Watch Video

Advertisement