Sekilas
- Faizul Sany, juara Akademi Fantasia musim ke-10, berehat enam tahun dari dunia seni untuk menjaga anak sulungnya yang menghidap gangguan spektrum autisme tanpa pertuturan.
- Faizul kini kembali menyertai Gegar Vaganza Fantasia musim ke-13 dengan membawa ibu bapanya untuk membantu menjaga anaknya sepanjang pertandingan.
- Gegar Vaganza Fantasia 13 akan bersiaran selama 11 minggu mulai 8 November di Astro Ria, menampilkan juara AF dan juri profesional serta hos popular.
Juara Akademi Fantasia musim ke-10 (AF10), Faizul Sany mendedahkan dia sudah enam tahun berehat dari dunia seni hanya untuk memberi fokus penjagaan anak sulungnya yang menghidap gangguan spektrum autisme tanpa pertuturan (non-verbal).
Faizul atau nama penuhnya Mohd Faizul Sany, 41, berkata keputusan itu dibuat selepas anaknya, Noah, yang kini berusia enam tahun disahkan mengalami masalah kesihatan itu.
Menurut Faizul, dia memilih untuk menjaga anaknya sepenuh masa dan menolak banyak tawaran nyanyian kerana tidak dapat memberikan komitmen.
“Saya sudah tidak menyanyi dan menumpukan perhatian sepenuhnya kepada anak saya yang mempunyai kelainan upaya.
“Saya menjaga anak sepenuh masa, tetapi royalti masih masuk dan saya juga mewarisi perniagaan keluarga. Jadi, dari segi kewangan, saya tiada masalah,” katanya kepada Gempak.
Dia berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media Gegar Vaganza Fantasia yang berlangsung di Damansara pada Khamis.
Berkongsi lanjut, penyanyi kelahiran Sabah itu berkata dia tidak pernah mengumumkan secara terbuka keputusan berehat daripada dunia seni.
Sebaliknya, jelas Faizul, dia memilih untuk menjelaskan perkara itu secara peribadi kepada pihak yang menawarkan pekerjaan kepadanya.
“Banyak tawaran saya tolak. Kalau ada tawaran, saya akan berterus terang bahawa saya sukar sudah tak menyanyi.
“Saya tidak pernah umumkan perkara ini di media sosial, cuma saya hilang begitu sahaja,” ujarnya.
Bercerita mengenai perkembangan Noah, Faizul bersyukur melihat perubahan positif yang ditunjukkan anak itu, termasuk kebolehan memberikan respons apabila dipanggil serta menguruskan diri.
“Dia semakin baik, sekarang sudah enam tahun. Dia sudah pandai memberikan respons apabila dipanggil dan boleh menguruskan diri sendiri.
“Saya tidak boleh menjangkakan apa-apa mengenai anak saya. Saya hanya mengharapkan yang terbaik untuknya.
“Dia masih belum boleh bercakap dan saya tidak tahu sama ada dia akan boleh bercakap atau tidak pada masa akan datang,” kongsinya.
Tambah Faizul, keadaan Noah masih terkawal dan anaknya itu tidak menunjukkan masalah tantrum yang membimbangkan.
Bagaimanapun, Faizul bersedia memberikan komitmen sepenuhnya apabila menyertai Gegar Vaganza Fantasia (GVF) kali ini.
Malah, dia turut membawa ibu bapanya yang baru sahaja bersara untuk menjaga anaknya yang istimewa itu.
“Untuk GV kali ini, saya bawa ibu bapa saya. Mereka pun baru sahaja bersara. Memang ini masa yang sesuai.
“Saya akan memberikan komitmen sepenuhnya untuk GV, tetapi selepas itu kita tengoklah bagaimana,” katanya.
Sebagai persiapan diri, Faizul memberitahu dia sudah mula menjalani rutin latihan dengan berkaraoke dua hingga tiga kali seminggu selain bersenam hampir setiap hari.
Untuk rekod, Faizul berkahwin dengan Afzarina Yahya pada November 2017 dan turut memiliki seorang lagi cahaya mata iaitu Aisyah yang kini berusia 5 tahun.
Untuk info, Faizul bersama lapan juara Akademi Fantasia lain iaitu Zahid, Mawi, Mila, Firman, Vince, Faizal, Stacy, dan Shahir bakal berentap di pentas GV13 atau GV Fantasia yang akan bermula pada 8 November ini.
Menambahkan lagi keterujaan musim ini, GV13 akan terus digerakkan oleh trio hos kegemaran ramai iaitu Nabil Ahmad, Jihan Muse dan Sherry Alhadad.
Barisan juri pula masih mengekalkan tiga nama besar yang cukup dihormati dalam industri muzik, iaitu Dato’ Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz Selamat, yang akan memberikan penilaian secara profesional, telus dan berintegriti terhadap setiap persembahan.
Lebih menarik, musim ini turut menampilkan juri jemputan khas dalam kalangan bekas tenaga pengajar Akademi Fantasia yang akan berkongsi pandangan dan pengalaman mereka sepanjang pertandingan berlangsung.
PROGRAM GEGAR VAGANZA FANTASIA
Berlangsung selama 11 minggu, ‘GV13’ akan bersiaran setiap Ahad, 9 malam di Astro Ria (saluran 104) dan secara langsung dari Auditorium MBSA Shah Alam. Program ini turut boleh distrim secara On Demand di aplikasi Astro GO dan Sooka.
KAPSUL GEGAR VAGANZA FANTASIA
Menampilkan persiapan, momen di balik tabir, sesi temu bual serta permainan bersama para peserta setiap minggu sebelum program utama bermula.
VAZZ VAGANZA FANTASIA
Dihoskan selama 30 minit sejurus selepas program utama untuk menampilkan wawancara dan soal jawab bersama peserta dan juri ‘GV13’.