Sekilas
- Farah Diana Anuar, alumni Akademi Fantasia 2, akhirnya terpilih menyertai Gegar Vaganza Fantasia selepas beberapa kali mencuba sejak musim kedua.
- Farah mendapat undian tertinggi daripada peminat dan kini bersedia dari segi vokal untuk bersaing dalam program yang menampilkan ramai penyanyi hebat.
- GV Fantasia musim ini menampilkan juara dan alumni AF serta dikendalikan oleh trio hos popular Nabil Ahmad, Jihan Muse dan Sherry Alhadad, dengan siaran setiap Ahad di Astro Ria.
Selepas sekian lama mencuba nasib, impian alumni Akademi Fantasia 2 (AF2) iaitu Farah Diana Anuar akhirnya tercapai apabila diumumkan sebagai salah seorang bintang yang mengisi kekosongan bagi program Gegar Vaganza Fantasia (GVF).
Menurut Farah, dia yang terkejut mendapat perkhabaran itu memaklumkan dia sudah mula mencuba nasib dengan bertanyakan peluang untuk menyertai program Gegar Vaganza sejak musim kedua.
Bagaimanapun, hasratnya ketika itu tidak kesampaian selepas dimaklumkan bahawa pihak produksi tidak mengambil alumni AF sebagai peserta.
“Saya dapat tahu pada hari Jumaat yang lalu. Dah lama sebenarnya nak masuk GV, dari musim kedua lagi tetapi waktu itu pihak produksi tidak ambil bekas pelajar AF.
“Bila dah terpilih ini, saya rasa inilah masanya untuk saya kembali beraksi insya-Allah,” katanya kepada Gempak.
Farah berkongsi demikian ketika ditemui usai konsert minggu kedua Gegar Vaganza Fantasia (GVF) bertempat di Auditorium MBSA, Shah Alam pada Ahad.
Berkongsi mengenai momen ketika dirinya menerima berita tersebut, pelantun lagu Tangisan Dalam Kerinduan ini memaklumkan dia sangat terkejut
Katanya, dia turut mendapatkan bantuan kelab peminat yang sudah menyokong perjalanan seninya sejak 2004 bagi menggerakkan undian.
“Agak terkejut sebenarnya dan memang mengharap tapi bila tengok senarai nama, ada 25 orang.
“Jadi kita gerakkanlah apa yang sepatutnya kita gerakkan. Kita ada kelab peminat kan yang memang daripada tahun 2004. Alhamdulillah tetapi tak sangkalah undian setinggi itu,” ujarnya.
Melihat kepada penglibatannya dalam GVF, pemenang tempat keempat AF2 ini mengakui perlu memberikan perhatian terhadap persediaan vokal memandangkan program ini menghimpunkan ramai penyanyi hebat.
“Saya rasa saya kena betul-betul bersedia dari segi vokal bagi menunjukkan yang kita masih lagi mampu menyanyi dengan baik.
“Kalau kita lihat Gegar Vaganza sangat mementingkan vokal jadi itulah yang perlu diasah dan dilatih sebaiknya insya-Allah,” katanya lagi.
Pada Ahad, Farah diumumkan sebagai salah seorang daripada empat alumni AF yang terpilih untuk menyertai GVF selepas meraih undian tertinggi daripada peminat.
Selain Farah, tiga lagi alumni yang terpilih termasuklah Akim Ahmad, Felix Agus dan Ara Johari.
Untuk info, GV Fantasia musim ini menampilkan himpunan juara serta alumni program Akademi Fantasia termasuk Mawi, Vince, Faizal, Shahir, Mila Jirin, Stacy, Zahid, Faizul Sany dan Firman Bansir.
Menambahkan lagi keterujaan musim ini, GV13 digerakkan oleh trio hos kegemaran ramai iaitu Nabil Ahmad, Jihan Muse dan Sherry Alhadad.
Sementara itu, barisan juri pula masih mengekalkan tiga nama besar yang cukup dihormati dalam industri muzik, iaitu Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz Selamat.
Manakala Celcom Digi pula merupakan penaja rasmi Gegar Vaganza Fantasia.
Terima kasih diucapkan kepada penaja kerana terus bekerjasama dengan Gegar Vaganza.
Berlangsung selama 11 minggu, ‘GV13’ bersiaran setiap Ahad, 9 malam di Astro Ria (saluran 104) dan secara langsung dari Auditorium MBSA Shah Alam.
Program ini turut boleh distrim secara On Demand di aplikasi Astro GO dan Sooka.