Sekilas
- Faizal dari Gegar Vaganza Fantasia selesa dengan penampilan badannya yang berisi walaupun menerima pelbagai komen netizen.
- Dia menerima nasihat juri Datuk Syafinaz Selamat untuk menjaga pemakanan dan mengurangkan nasi kandar demi kesihatan dan stamina menyanyi.
- Faizal menganggap komen negatif sebagai lumrah dan memastikan anak-anaknya faham serta tidak terkesan dengan perhatian orang ramai terhadap dirinya.
Meskipun menerima pelbagai komen daripada orang ramai mengenai bentuk badannya namun, bintang Gegar Vaganza Fantasia (GVF) iaitu Faizal mengakui selesa dengan penampilan fizikalnya yang agak berisi ketika ini.
Walau bagaimanapun pemilik nama Faizal Mohammad Faizal Ramly ini menyambut baik nasihat juri tetap GVF, Datuk Syafinaz Selamat yang mengingatkannya supaya menjaga pemakanan serta mengurangkan pengambilan nasi kandar.
Menurut Faizal, faktor usia antara cabaran yang membuatkan dirinya sukar untuk menurunkan berat badan, apatah lagi dia masih berdepan masalah mengawal selera makan terutama pada waktu malam.
“Memanglah satu pesanan yang baik untuk saya. Saya ini kalau waktu malam sahaja mesti lapar. Apakan daya, mungkin faktor usia juga.
“Sebenarnya saya sudah kurangkan makan, tetapi apabila umur semakin meningkat, bukan mudah untuk menurunkan berat badan.
“Bagaimanapun, saya terima sahaja keadaan diri yang gemuk macam ini. Saya tidak ada masalah dan bahagia sahaja menjalani kehidupan.
“Cuma, saya memang perlu turunkan berat badan supaya dapat menyanyi dengan lebih bertenaga dan mempunyai stamina yang baik,” katanya kepada Gempak.
Faizal berkata demikian ketika ditemui selepas konsert minggu kedua Gegar Vaganza Fantasia (GVF) yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam pada Ahad.
Mengulas mengenai komen netizen yang sering menjadikan bentuk badannya sebagai bahan gurauan, Faizal memilih untuk tidak mengambil hati dan menganggap perkara itu sebagai lumrah kehidupan seorang figura dikenali.
“Tidak (terasa), itu perkara biasa. Mereka memang begitu, mungkin sekadar mahu bergurau. Saya ambil dari sudut positif sahaja. Siapalah kita untuk menilai orang lain lebih-lebih.
“Saya tidak mahu terlalu memikirkan perkara itu. Apa sahaja yang mereka mahu komen, silakan. Janji bila tiba masa makan, saya makan. Bila tiba masa menyanyi, saya menyanyi.
“Perkara yang baik kita ambil, manakala komen negatif itu tidak perlu terlalu difikirkan. Cukuplah kita sentiasa bersikap positif,” tambahnya.
Dalam masa sama, Faizal turut memastikan anak-anaknya memahami situasi yang dihadapi apabila menjadi perhatian umum, termasuk menerima komen mengenai penampilan fizikalnya.
Katanya, dia sudah menjelaskan perkara tersebut kepada anak-anak dan bersyukur mereka tidak terkesan dengan komen yang dilemparkan terhadap dirinya.
“Anak-anak saya okey sahaja. Saya sudah beritahu dan jelaskan kepada mereka. Sebagai seorang ayah dan individu yang dikenali, mereka perlu faham keadaan itu. Anak-anak saya tidak ada masalah,” kongsinya.
Terdahulu, Datuk Syafinaz Selamat secara terbuka menegur Faizal ketika memberikan komen terhadap persembahannya pada konsert minggu kedua Gegar Vaganza Fantasia (GVF).