Sekilas
- Vince Chong mengambil masa setahun untuk turunkan berat badan dengan amalkan water fasting, intermittent fasting, kawal pemakanan dan aktif bermain pickleball.
- Dia berterima kasih kepada isteri yang memberi semangat untuk kekal sihat dan fokus kepada kesihatan demi keluarga.
- GV13 akan bermula 8 November dengan 9 juara Akademi Fantasia, hos Nabil, Jihan dan Sherry serta juri profesional termasuk juri jemputan khas.
Bintang Gegar Vaganza Fantasia (GV13), Vince Chong memberitahu dia mengambil masa selama setahun untuk menurunkan berat badan dengan menjalani diet seperti water fasting dan intermittent fasting.
Menurut Vince, selain menjaga pemakanan, dia juga sangat aktif dalam bermain sukan pickleball dan melakukan senaman.
“Saya ambil masa hampir setahun. Saya mula dengan buat water fasting, intermittent fasting dan banyak bersenam dan sudah tentu kawal pemakanan. Itu yang sangat penting macam kurangkan gula, karbohidrat and all that.
“Tapi dalam masa yang sama, sebab sejak saya main pickleball, ada benda yang bagus fasal pickleball tu, kita boleh ketagih tahu. Jadi, dalam masa bila ketagih, awak tak perasan, awak tak rasa buat exercise sebab enjoy.
“Badan pun berpeluh dan awak buat setiap hari. Jadi saya rasa itu salah satu sebab macam mana saya boleh turunkan berat badan dengan banyak,” kata Vince kepada Gempak.
Dalam pada itu, juara Akademi Fantasia musim pertama ini juga mengucapkan terima kasih kepada isterinya yang mendorong dirinya untuk menjaga kesihatan.
“Selain itu sudah tentu saya berterima kasih juga kepada isteri saya. Sebab dia yang memberi semangat untuk saya kembali ke bentuk badan yang dulu.
“Kelihatan menarik hanyalah satu bonus, tetapi bagi saya, yang paling penting ialah kesihatan. Saya mahu terus berada di sisi anak-anak saya selama mungkin,” ujarnya.
Untuk info, Vince bersama lapan juara Akademi Fantasia lain iaitu Zahid, Mawi, Mila, Firman, Faizul, Faizal, Stacy, dan Shahir bakal berentap di pentas GV13 atau GV Fantasia yang akan bermula pada 8 November ini.
Menambahkan lagi keterujaan musim ini, GV13 akan terus digerakkan oleh trio hos kegemaran ramai iaitu Nabil Ahmad, Jihan Muse dan Sherry Alhadad.
Barisan juri pula masih mengekalkan tiga nama besar yang cukup dihormati dalam industri muzik, iaitu Dato’ Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz Selamat, yang akan memberikan penilaian secara profesional, telus dan berintegriti terhadap setiap persembahan.
Lebih menarik, musim ini turut menampilkan juri jemputan khas dalam kalangan bekas tenaga pengajar Akademi Fantasia yang akan berkongsi pandangan dan pengalaman mereka sepanjang pertandingan berlangsung.
PROGRAM GEGAR VAGANZA FANTASIA
Berlangsung selama 11 minggu, ‘GV13’ akan bersiaran setiap Ahad, 9 malam di Astro Ria (saluran 104) dan secara langsung dari Auditorium MBSA Shah Alam. Program ini turut boleh distrim secara On Demand di aplikasi Astro GO dan Sooka.
KAPSUL GEGAR VAGANZA FANTASIA
Menampilkan persiapan, momen di balik tabir, sesi temu bual serta permainan bersama para peserta setiap minggu sebelum program utama bermula.
VAZZ VAGANZA FANTASIA
Dihoskan selama 30 minit sejurus selepas program utama untuk menampilkan wawancara dan soal jawab bersama peserta dan juri ‘GV13’.