Sekilas
- Mila Jirin kembali beraksi dalam Gegar Vaganza Fantasia (GV13) yang menampilkan juara dan bekas peserta Akademi Fantasia.
- Dia fokus memberikan persembahan terbaik dan bukan sekadar bersaing dengan rakan seangkatan dalam pertandingan tersebut.
- Mila mengambil kelas kecergasan termasuk tinju untuk meningkatkan stamina dan menyesuaikan diri dengan perubahan fizikal selepas melahirkan anak.
Penyanyi Mila Jirin mahu menghangatkan semula karier nyanyiannya menerusi penyertaan dalam Gegar Vaganza Fantasia (GV13) yang menghimpunkan barisan juara dan bekas peserta Akademi Fantasia (AF).
Mila atau nama sebenarnya Norsyarmilla Jirin, 38, bersyukur apabila impian peminat untuk melihatnya kembali beraksi di pentas pertandingan akhirnya menjadi kenyataan.
Menurut Mila, dia bersetuju menyertai GV13 kerana konsep musim kali ini cukup istimewa dengan menghimpunkan barisan bekas peserta AF yang pernah mencipta kenangan bersama peminat.
“Saya setuju masuk GV kerana tahun ini berbeza, sangat menarik dengan barisan peminat AF. Mungkin takkan ada lagi momen ini sebab AF dah tiada,” katanya.
Meskipun bakal berentap dengan rakan-rakan seangkatan, pelantun lagu Persis Mutiara itu menegaskan penyertaannya bukanlah semata-mata untuk bersaing, sebaliknya mahu memberikan persembahan terbaik buat penonton.
“Awal-awal lagi bila tahu tentang program GV, saya cakap bukan nak bertanding dengan mereka. Semua ada kehebatan sebab itu mereka bergelar juara AF.
“Cuma saya nak berikan yang paling baik kepada penonton GV sebab program ini ada peminat setia.
“Jadi saya mahu berikan yang terbaik terutamanya bila dapat tugasan yang mungkin bukanlah lagu-lagu yang biasa dinyanyikan,” tambahnya.
Dalam pada itu, Mila mengakui aspek stamina menjadi keutamaannya menjelang pertandingan memandangkan sudah hampir dua dekad berlalu sejak dia mula mencipta nama menerusi AF.
Justeru, penyanyi berusia 38 tahun itu mengambil inisiatif mengikuti beberapa kelas kecergasan termasuk tinju bagi meningkatkan semula tahap kecergasan fizikalnya.
“Antara yang paling saya fikirkan adalah stamina sebabnya kita semua makin muda (berseloroh). Kami berada di pentas ketika itu baru 19 atau 20 tahun.
“Sekarang semua dah nak masuk empat siri. Jadi stamina yang paling saya tekankan dan Alhamdulillah hampir dua bulan juga saya masuk pelbagai kelas untuk menaikkan balik stamina termasuk tinju.
“Pada saya, sebagai penyanyi perkara itu penting sangat untuk kita kawal kadar degupan jantung,” jelasnya.
Malah, Mila tidak menafikan perubahan fizikal selepas melahirkan anak turut mempengaruhi tahap kecergasannya berbanding ketika mula-mula bergelar penyanyi.
“Boleh dikatakan ya (kelas tinju selepas tawaran GV) sebab pada saya sebagai seorang penyanyi, saya sendiri rasa bila menyanyi sebelum masuk kelas tinju memang cepat rasa penat.
“Sebagai seorang ibu yang pernah melahirkan anak, struktur badan pun dah lain. Alhamdulillah tinju sangat membantu selain daripada senaman kardio yang saya lakukan di rumah,” katanya lagi.
Untuk rekod, pentas GV13 bakal membuka tirai pada Ahad dengan penyertaan sembilan juara AF iaitu Vince, Mawi, Zahid, Shahir, Mila Jirin, Stacy, Faizal Ramly, Faizul Sani dan Firman.
Sementara itu, Celcom Digi pula merupakan penaja rasmi Gegar Vaganza Fantasia.
Terima kasih diucapkan kepada penaja kerana terus bekerjasama dengan Gegar Vaganza.
Berlangsung selama 11 minggu, ‘GV13’ akan bersiaran setiap Ahad, 9 malam di Astro Ria (saluran 104) dan secara langsung dari Auditorium MBSA Shah Alam.
Program ini turut boleh distrim secara On Demand di aplikasi Astro GO dan Sooka.