Sekilas
- Nadia Hasnan tersentuh melihat semangat peserta Gegar Vaganza Fantasia yang sudah lama tidak aktif membuat persembahan di pentas besar dan televisyen.
- Bekas peserta Akademi Fantasia itu mengakui rasa sayu apabila mengenangkan peserta yang pernah bergelar juara kini mempunyai perjalanan hidup dan kerjaya berbeza.
- Semangat peserta GVF memberi inspirasi kepada Nadia untuk kembali fokus memperbaiki diri dan aktif dalam bidang nyanyian tanpa niat menyertai pertandingan.
Pengacara dan penyanyi, Nadia Hasnan mengakui tersentuh melihat semangat serta kesungguhan bintang Gegar Vaganza Fantasia (GVF) yang sudah lama tidak membuat persembahan di pentas besar mahupun kaca televisyen.
Menurut Nadia, perasaan sayu mula timbul apabila mereka ditanya oleh juri, Datuk Ramli MS mengenai tempoh sudah berapa lama tidak menyanyi secara aktif.
Apa yang lebih menyentuh hati bekas peserta Akademi Fantasia musim keenam itu apabila mengenangkan mereka pernah mengecapi kejayaan dan menjulang gelaran juara dalam pertandingan nyanyian, namun masing-masing mempunyai perjalanan hidup serta kerjaya yang berbeza.
"Bila Tok Ram tanya mereka yang dah lama pudar di pentas besar atau kaca televisyen, dah berapa lama tak menyanyi, sayu rasanya.
"Mereka pernah menjulang gelaran juara. Itulah hakikatnya, ada yang menjadi, ada yang perlu cari cara lain untuk terus hidup," tulisnya menerusi Threads.
Dalam pada itu, Nadia mengakui semangat yang ditunjukkan peserta GVF berkenaan secara tidak langsung memberikan inspirasi buat dirinya untuk kembali memberikan tumpuan terhadap bidang nyanyian.
Jelasnya, dia bukan tergerak untuk menyertai mana-mana pertandingan, sebaliknya mahu kembali bersemangat memperbaiki kemampuan diri, berlatih dan terus aktif menyanyi.
"Tapi melihat keinginan dan semangat mereka tadi seolah-olah memberikan harapan dan semangat, mungkin kepada saya yang semakin hilang semangat dalam bidang ini.
"Bukan semangat untuk masuk bertanding, tetapi semangat untuk terus memperbaiki diri, berlatih dan terus menyanyi," ujarnya.